KUALA LUMPUR - Semua pemilik perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berpeluang memperoleh perlindungan insurans penuh tanpa perlu mengubah liputan yang ada, dan pada masa sama boleh membuat pembayaran premium bulanan dengan tidak dikenakan sebarang kos tambahan.
Perkhidmatan berkenaan ditawarkan menerusi kempen mesra rakyat dikenali sebagai KITACOVER, sempena Minggu MyFintech anjuran Bank Negara Malaysia (BNM).
Dilancarkan operator peer to peer (P2P) yang dilesenkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM), ia beroperasi melalui platform Cofundr.
Pengarah Cofundr, Ahmad Kamal S. Awab berkata, KITACOVER bergerak menggunakan dua pendekatan, iaitu pendidikan dan peningkatan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan insurans untuk PKS.
Menurut beliau, ia turut menawarkan nasihat percuma kepada pemilik perusahaan.
“Perkhidmatan nasihat ini disediakan panel insurans profesional Cofundr yang berfungsi sebagai perantara serta terdiri daripada agen dan broker insurans berpengalaman.
“Mereka bukan sahaja mahir, malah mempunyai kepakaran khusus untuk menangani segmen PKS dan berpengetahuan luas mengenai isu berkaitan bencana alam,” katanya di sini.
Katanya, pendekatan kedua pula adalah melalui pembiayaan premium yang berkaitan secara crowdfunding dan untuk jangka masa ditetapkan, Cofundr turut menawarkan subsidi penuh bagi kos kewangan yang telah diluluskan.
“Ini bermakna pemilik perniagaan PKS boleh memperoleh perlindungan insurans penuh tanpa perlu mengubah liputan insurans mereka dan pada masa yang sama, mereka juga boleh membuat pembayaran premium secara bulanan tanpa apa-apa kos tambahan.
“Ia memudahkan kerana mereka tidak perlu membayarnya secara lump sum atau sekaligus,” jelasnya.
Ahmad Kamal menarik perhatian, tujuan KITACOVER amat jelas, seiring dengan peranan penting dimainkan PKS dalam pembangunan ekonomi Malaysia.
“Majoriti perniagaan di dunia terdiri daripada syarikat PKS dan mereka merupakan sumber utama yang menyediakan peluang pekerjaan serta penggerak utama pembangunan ekonomi global, mewakili lebih kurang 90% perniagaan, dengan menawarkan lebih daripada 50% peluang pekerjaan di seluruh dunia.
“Seperti dinyatakan di dalam Laporan Tahunan PKS yang oleh Perbadanan PKS Malaysia (SME Corp. Malaysia), PKS menyumbang RM553.5 bilion terhadap GDP (keluaran dalam negara kasar) negara pada 2019. Namun, pengambilan insuran bagi syarikat PKS terutamanya dari segi perlindungan ketika menghadapi bencana alam masih pada tahap yang membimbangkan,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, data oleh AIG Malaysia Insurance Berhad mendapati, hanya 15% pemegang polisi insurans yang membeli perlindungan banjir.
“Ini bermakna lebih daripada 80% syarikat PKS tidak mempunyai perlindungan terhadap kerosakan akibat banjir, menandakan mereka memiliki pemahaman yang kurang berkaitan dengan risiko dan kesan akibat bencana alam.
“Mereka yang memiliki insurans pula, majoritinya tidak mempunyai insurans mencukupi, malah PKS sering terdedah kepada pelbagai risiko,” katanya.
Jelasnya, malapetakan yang dialami baru-baru ini patut memberi kesedaran kepada syarikat PKS di seluruh negara agar lebih proaktif dan peka untuk memeriksa liputan insurans mereka.
“Ia satu-satunya pertahanan yang boleh dimiliki bagi mengurangkan impak kepada situasi kewangan bakal dialami perniagaan masing-masing apabila berlakunya bencana alam,” katanya.
PKS yang berminat untuk mendapatkan khidmat nasihat boleh mendaftar di www.kitacover.com dan pakar insurans KITACOVER akan membuat susulan untuk membantu mereka. – Getaran, 8 Februari 2022