KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Menerusi kenyataannya, jurucakap BNM memaklumkan, keputusan berkenaan dibuat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank itu pada mesyuarat hari ini.
“Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
“MPC akan terus menilai kesan pelarasan OPR kumulatif, memandangkan kesan dasar monetari yang ketinggalan terhadap ekonomi,” menurut kenyataan itu.
BNM memaklumkan, MPC kekal berwaspada terhadap faktor kos, termasuk daripada perkembangan pasaran kewangan yang mungkin menjejaskan prospek inflasi.
“Normalisasi selanjutnya kepada tahap akomodatif dasar monetari akan dimaklumkan oleh situasi yang berkembang, selain implikasinya terhadap inflasi domestik dan prospek pertumbuhan.
“MPC akan terus menentukan tetapan dasar monetari yang mengimbangi risiko kepada inflasi domestik dan pertumbuhan mampan,” katanya.
Pada masa sama, BNM berkata, dalam ekonomi global yang menyaksikan beberapa perkembangan positif dengan pembukaan semula ekonomi China dan hasil pertumbuhan lebih baik daripada jangkaan dalam ekonomi utama disokong permintaan domestik berdaya tahan, ia akan terus dibelenggu tekanan kos meningkat serta kadar faedah lebih tinggi.
Menurutnya, ia menyaksikan inflasi utama menyederhana sedikit daripada paras tertinggi dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tetapi inflasi teras kekal di atas purata sejarah.
Justeru, katanya, beberapa bank pusat dijangka terus menaikkan kadar faedah untuk menguruskan tekanan inflasi, sekali gus akan tetap menimbulkan masalah kepada prospek pertumbuhan global.
Manakala, BNM memaklumkan, ekonomi Malaysia dijangka berkembang kukuh 8.7 peratus pada 2022 didorong pemulihan dalam perbelanjaan sektor swasta dan awam, berikutan pembukaan semula sepenuhnya ekonomi.
Ini adalah kali kedua BNM mengumumkan pengekalan OPR yang menyaksikan keputusan itu mengejutkan, selepas ia dijangka menaikkan kadar terbabit daripada 2.75 peratus ditetapkan sebelumnya kepada 3.00 peratus pada tahun ini.
Institusi kewangan pusat negara itu sebelum ini menaikkan OPR empat kali berturut-turut sepanjang tahun lalu, iaitu pada Mei, Julai, September dan November.
Kenaikan itu masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.
Justeru, pelbagai pihak, termasuk penganalisis ekonomi meminta BNM menghentikan sementara kenaikan OPR, sekiranya langkah itu memberi kesan besar kepada rakyat, termasuk jika ia mengakibatkan bebanan terhadap kewangan mereka dan peningkatan tinggi individu muflis. – Getaran, 9 Mac 2023