web statsweb stats

Berita Terkini

1 hari yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Waruga: Kisah Seram Inspirasi Kepercayaan Kuno Kaum Minahasa

Filem yang menerapkan unsur muzik tradisional nusantara ini, bukanlah sekadar sebuah naskhah seram tetapi turut berkisar mengenai konflik hubungan sesama manusia

Filem & TV Dikemaskini 7 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 09 Feb 2024 12:14PM

gambar BERNAMA

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Minat terhadap elemen muzik tradisional dan nusantara terutama alat muzik gamelan menjadi faktor yang mendorong pelakon Zahiril Adzim menerima tawaran berlakon dalam filem seram 'Waruga: Kutukan Ilmu Hitam.'

Alunan muzik sedemikan tidak asing bagi beliau kerana minat yang dipupuk hampir setiap hari ketika menuntut di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) lebih 15 tahun lalu.

"Meskipun filem Waruga ini tidak menggunakan irama muzik gamelan tetapi ia masih menerapkan elemen muzik tradisional. Ini membuatkan saya tertarik untuk menjadi sebahagian daripada projek filem tersebut apatah lagi sudah lama saya tidak bekerja dengan karya yang menggunakan elemen nusantara sebegini," katanya kepada pemberita pada malam gala tayangan perdana filem itu.

Bakal ditayang di pawagam mulai 15 Februari, Waruga turut menampilkan barisan pelakon popular seperti Elvina Mohamad, Eriza Allya, Sahronizam Noor, Izzue Islam, Ruminah Sidek, Nizam Kama, Adik Putri Amirah Maisara dan Adik Syed Irfan.

Menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang selama 20 hari dengan kos pembikinan RM1.8 juta, pengarah Azaromi Ghozali berkata, jalan cerita filem ini diinspirasikan daripada kepercayaan kuno.

"Perkataan waruga mungkin agak asing dalam kalangan orang Malaysia, namun ia bermaksud tempat persemadian mayat atau makam (kubur) orang yang meninggal dunia bagi kaum Minahasa yang wujud di Indonesia.

"Mengikut kepercayaan Minahasa, jasad manusia yang meninggal dunia akan disemadi di dalam Waruga seperti kedudukan bayi semasa dalam kandungan kerana dipercayai jasad itu akan dilahirkan semula," katanya.

Azaromi berkata, justeru itu, tajuk Waruga dipilih sebagai simbolik kerana filem ini menceritakan tentang ilmu hitam dan pemujaan untuk membangkitkan semula jasad orang yang sudah mati.

Beliau juga berkata, Waruga bukanlah sekadar sebuah naskhah seram semata-mata tetapi turut berkisar tentang konflik hubungan manusia yang diperkuatkan lagi dengan elemen seram.

"Apapun saya mahu mereka yang menonton filem ini melihat dari sudut positif tentang mesej yang disampaikan, misalnya segelintir yang masih terpedaya dengan tipu muslihat iblis sehingga melakukan perbuatan yang sesat dan salah di sisi agama," katanya.

Beberapa babak juga diolah untuk disesuaikan dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem demi menjaga sensitiviti masyarakat, namun ia tidak menjejaskan jalan cerita.

Penerbit D' Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar pula berkata, pihaknya tertarik untuk menerbitkan filem seram kerana ia kegemaran penonton tempatan dan sering mendapat sambutan baik.

"Sebagai penerbit, pastinya saya mengharapkan filem ini mendapat sambutan hangat penonton. Kalau kutipan memberangsangkan, mungkin filem ini akan ada sambungan atau menghasilkan filem seram yang lain pula," katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah dihubungi tiga syarikat pengedaran dari Indonesia bagi mengadakan tayangan serentak di sana.

Waruga, yang bakal ditayangkan di beberapa negara ASEAN lain seperti Vietnam, Myammar, Singapura, Brunei dan Filipina, mengisahkan mengenai seorang penuntut ilmu perubatan tradisional iaitu Rewan yang tidak dapat menerima hakikat kematian isterinya, telah meminta gurunya Mbah Usu Lijah untuk membangkitkan jasad wanita itu melalui kitab keturunan kaum Minahasa.

Bagaimanapun, konflik bermula apabila Rewan bertindak membunuh Mbah Usu Lijah dan merampas kitab itu untuk mengamalkan ilmu hitam bagi memenuhi permintaannya. - BERNAMA

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 bulan yang lalu

Imigresen Sabah Hantar Pulang 153 Pendatang Indonesia

2

Video & Galeri 7 bulan yang lalu

Puting Beliung Landa Sumedang, Bandung Di Indonesia

3

Luar Negara 7 bulan yang lalu

PEMILU 2024: Pemimpin Dunia Ucap Tahniah Kepada Prabowo

4

Luar Negara 7 bulan yang lalu

PEMILU: Puluhan Cedera Dalam Pertempuran Di Papua

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara