web statsweb stats

Berita Terkini

21 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Khasiat Madu Asli Dorong Nur Hazian Ceburi Perniagaan BeeBudz

Karier Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 10 Mar 2022 9:25AM

Nur Hazian Ghazali bersama produk madu asli yang diusahakan menerusi perniagaan BeeBudz. - Gambar Sadiq Asyraf

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Madu asli adalah makanan tambahan yang memiliki pelbagai kebaikan, bukan sahaja untuk memberi tenaga dan membantu mengatasi masalah kesihatan seperti batuk, malah mampu menjadi antibodi tubuh dalam melawan penyakit.

Bagaimanapun, kesedaran berhubung kepentingan dan kebaikan madu asli kepada semua peringkat usia itu kurang disedari masyarakat.

Malah, sikap orang ramai yang masih meragui produk madu asli menjadi faktor yang menyebabkan pemberian manisan semulajadi itu, terutama kepada kanak-kanak tidak diutamakan atau gagal diberi perhatian.

Justeru, bagi mendidik dan menggalakkan masyarakat supaya mengambil madu asli dalam pemakanan seharian, termasuk ibu bapa untuk memberikannya kepada anak-anak, Nur Hazian Ghazali nekad mengusahakan perniagaan BeeBudz.

Antara produk madu keluaran BeeBudz
Antara produk madu keluaran BeeBudz

Bagi wanita berusia 45 tahun itu, cabaran ditempuhi sebagai usahawan madu asli, terutama pada peringkat awal bukan mudah, namun berkat kesabaran dan kesungguhan mendalami ilmu berkaitan, menjadikannya lebih bijak mengendalikan perniagaan berkenaan.

“Sebelum membuka perniagaan madu asli ini, saya bertugas dalam bidang perundangan sebagai peguam bela dan peguam cara selama enam tahun, sebelum berkhidmat sebagai kru kabin di sebuah syarikat penerbangan antarabangsa.

“Kerjaya bersama syarikat penerbangan ini juga memberi peluang kepada saya untuk mengenali masyarakat daripada pelbagai bangsa, kaum dan etnik daripada sudut berbeza.

“Jadi pengalaman dalam kedua-dua bidang kerjaya awal ini saya ‘adunkan’ untuk mempersiapkan diri sebagai usahawan demi melancarkan urusan perniagaan dan menyakinkan pelanggan,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Antara produk keluaran BeeBudz.
Antara produk keluaran BeeBudz.

Berbicara mengenai pembabitannya sebagai usahawan, graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, selepas menamatkan perkhidmatan dalam kerjaya berkenaan, beliau memberanikan diri untuk melangkah ke bidang perniagaan terbabit pada tahun 2017 dengan menghasilkan produk madu asli berasaskan campuran ekstrak buah-buahan.

Nur Haizan menerangkan mengenai produknya ketika menyertai pameran sempena Sambutan Hari Wanita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada 8 Mac lalu.
Nur Haizan menerangkan mengenai produknya ketika menyertai pameran sempena Sambutan Hari Wanita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada 8 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Nur Hazian berkata, dia pernah berdepan situasi buntu untuk mencari jalan terbaik meneruskan perniagaan berkenaan apabila dua rakan kongsinya, menarik diri berikutan perlu memenuhi komitmen kehidupan masing-masing.

“Memang ketika itu, saya agak patah semangat, tetapi disebabkan misi besar untuk menjadikan madu asli yang juga makanan sunnah sebagai makanan tambahan, saya tekad meneruskan usaha.

“Lagipun saya memang sayangkan kanak-kanak. Saya mampu memberi anak saya makanan sihat, namun kanak-kanak di luar sana belum pasti dapat makanan berkhasiat, apatah lagi makanan tambahan berkualiti, jadi ia menjadi pendorong untuk saya meneruskan perniagaan ini,” ujarnya.

BeeBudz sudah mengeluarkan 5 produk madu, iaitu madu asli, madu Tualang, madu bunga liar, madu asli buah beri dan madu asli lemon.
BeeBudz sudah mengeluarkan 5 produk madu, iaitu madu asli, madu Tualang, madu bunga liar, madu asli buah beri dan madu asli lemon.

Ditanya mengenai cabaran, Nur Hazian berkata, penjualan madu mencetuskan isu tersendiri dalam mendapatkan kepercayaan orang ramai disebabkan wujud produk berkenaan yang menggunakan madu tidak asli di pasaran.

Katanya, ditambah situasi pandemik COVID-19 yang memaksa semua perniagaan untuk membuka platform atas talian umpama ‘cendawan tumbuh selepas hujan’, ia menambahkan keraguan masyarakat untuk mempercayai penjual mana memasarkan produk tulen, berkualiti dan boleh benar-benar diyakini.

“Perniagaan di atas talian tidak selalunya mudah, lagi-lagi apabila menubuhkan perniagaan baharu dan jenama kurang popular seperti dihasilkan ini, memang agak sukar ketika peringkat awal untuk bersaing dengan produk lebih kukuh.

“Banyak rintangan dan cabaran saya lalui untuk memajukan serta mempromosikan perniagaan ini, terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Jelasnya, berbekalkan latar belakang dalam bidang perundangan, menjadikan beliau begitu berhati-hati ketika berurusan dengan pembekal dan pengilang.

Menurutnya, berkat usaha gigih, tanpa disangka jenama produk dihasilkan itu semakin dikenali menerusi program dijalankannya, termasuk melalui kunjungan ke sekolah, ekspo, karnival dan kios, sehingga menerima sambutan baik orang ramai.

Sehingga kini, katanya, perniagaan itu sudah mengeluarkan lima produk madu, iaitu madu asli, madu Tualang, madu bunga liar, madu asli buah beri dan madu asli lemon.

Produk BeeBudz kini, jelasnya, menerima sambutan semakin menggalakkan dan melayakkannya memenangi Anugerah Madu Asli Terbaik 2020 dari Natural Health Magazine sebagai jenama madu pilihan untuk kanak-kanak serta dipercayai ibu bapa.

“Misi saya hanyalah untuk memberi didikan mengenai khasiat madu asli ini kepada kanak-kanak serta menggalakan mereka untuk mengambil madu asli dalam menu harian mereka.

“Pendedahan mengenai kelebihan madu asli ini sebagai khasiat dan tumbesaran kanak-kanak amat penting bagi mengelakkan mereka menikmati makanan ringan atau jajan yang tidak sihat,” katanya. - Getaran, 8 Mac 2022.
 

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara