KUALA LUMPUR - “Keputusan ini adalah hadiah istimewa kepada diri sendiri dan ‘membayar’ segala pengorbanan saya yang terpaksa melepaskan banyak aktiviti digemari semata-masa untuk memberikan tumpuan terhadap pelajaran,” kata pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, Noor Alisa Anuar, 18.
Meraih keputusan 8A, termasuk empat A+, pelajar Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) itu berkata, demi pelajaran juga, dia tidak mengikuti keluarga bercuti atau menjalankan aktiviti rekreasi pada hujung minggu.
Dia juga perlu mengetepikan aktiviti menonton rancangan kegemaran di televisyen bagi memastikan waktu itu digunakan sebaik mungkin untuk memantapkan penguasaan terhadap silibus mata pelajaran.
Berkongsi ‘resipi’ kejayaannya dalam akademik, Noor Alisa berkata, tiada impian yang mudah dicapai kecuali dengan usaha gigih berterusan.
Justeru, sejak berusia 12 tahun, katanya, dia memberikan tumpuan untuk belajar bersungguh-sungguh demi meraih pencapaian membanggakan dalam akademik.
Menurutnya, kebiasaan itu sedikit sebanyak memudahkan dia menyusun jadual belajar ketika persediaan menduduki SPM.
“Apapun, dengan cabaran tertentu dihadapi saya sebagai calon SPM yang terpaksa belajar dalam situasi pandemik COVID-19, memang keputusan diperoleh hari ini saya tidak sangka.
“Sebaik sahaja angka giliran saya diumukan sebagai antara pelajar yang mendapat keputusan cemerlang, saya betul-betul gembira,” katanya ketika dihubungi Getaran hari ini.
Ditanya apakah cabaran berkenaan, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, perkara terbabit dialami apabila kelas fizikal tidak dibenarkan.
Justeru, katanya, sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang dipratikkan pihak Kementerian Pendidikan (KPM), memerlukan dia bersama rakan sekolah mengikuti kelas menerusi kaedah hibrid atau secara maya.
Pendekatan dipratikkan kepada pelajar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu adalah cabaran perlu dilaluinya sebagai calon SPM tahun lalu, memandangkan interaksi berdepan bersama guru tidak dapat dijalankan.
“Pembelajaran secara PdPR ini berbeza dengan bersemuka. Jika dulu tidak faham, kita terus berjumpa guru untuk bertanyakan soalan, tetapi ketika kaedah ini, interaksi hanya melalui skrin komputer dan di rumah.
“Namun saya bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan sangat luar biasa, iaitu guru dan ahli keluarga yang sentiasa memastikan saya mampu menguasai topik dengan baik. Guru juga tidak berkira apabila saya banyak bertanya ketika PdPR,” ujarnya.
Menurut Noor Alisa, kejayaan berkenaan juga sebagai mengikut jejak kakaknya yang juga pelajar cemerlang SPM tahun sebelum itu, sekali gus memberi inspirasi kepada dirinya.
Ditanya mengenai perancangan selepas meraih keputusan itu, dia berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
“Saya ingin meneruskan pengajian dalam bidang Sains Kesihatan Bersekutu,” katanya. – Getaran, 16 Jun 2022.