KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Undi 18 bakal menambah hampir 750,000 pengundi baharu bawah 21 tahun untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Persatuan Pengundi Muda (UNDI18).
Jurucakap UNDI18 berkata, jumlah tersebut adalah penambahan hampir 30 peratus kepada bilangan pengundi sedia ada.
“Dengan adanya pendaftaran pemilih automatik, pemilih yang layak tidak perlu lagi mendaftar sebagai pemilih.
“Pengundi hanya perlu melakukan semakan pemilih melalui portal mysprsemak.spr.gov.my untuk menyemak status kawasan lokaliti tempat pengundian mereka,” katanya.
Menurut beliau, PRN Johor bakal menyaksikan detik bersejarah apabila anak muda berumur 18, 19 dan 20 tahun buat kali pertama dibenarkan untuk menjadi pengundi dalam sistem demokrasi negara.
“Justeru, kami menyeru semua belia di Johor untuk mengambil peluang PRN bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi muda.
“Ini merupakan kali pertama belia berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dalam mana-mana pilihan raya setelah diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 Januari 2022,” ujarnya.
UNDI18 juga jelas beliau, mengharapkan penglibatan lebih besar dalam kalangan anak muda sebagai calon dalam PRN Johor.
Kata persatuan itu, parti politik yang bertanding disaran untuk menampilkan muka baharu khususnya dari kalangan anak muda, untuk terlibat dalam penggubalan dasar kerajaan negeri memandangkan golongan ini memegang peratus besar sebagai pengundi dalam pilihan raya kali ini.
“UNDI18 juga dengan ini akan melancarkan inisiatif #UndiJohor sebagai platform bagi menggalakkan penglibatan golongan anak muda secara langsung mahupun tidak langsung demi membudayakan amalan demokrasi negara.
“UNDI18 akan memberikan dinamik baharu dalam sistem demokrasi negara dengan penglibatan rakyat yang lebih besar, dan bakal menjadi penanda aras penting sentimen anak muda dalam pilihan raya akan datang,” katanya. - Getaran, 23 Januari 2022