KUALA LUMPUR - Selepas kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) akibat ‘Langkah Sheraton’ oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), ekonomi Johor masih di takuk lama dan tidak berkembang seperti diharapkan rakyat.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Johor Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ia dibuktikan apabila rakyat masih terbeban dengan kos sara hidup, kehilangan pekerjaan dan terjejas pendapatan.
Menurut beliau, kadar pengangguran pada tahun lalu naik kepada 4.6 peratus, berbanding 4.5 peratus pada tahun 2020 yang menyaksikannya jumlah tertinggi melepasi rekod negara sejak tahun 1993.
“Ramai anak muda berpelajaran tinggi bekerja sebagai juruwang, pekerja sambilan dan ada menganggur. Pekerja tempatan pula dipotong gaji dan ramai dibuang pekerja.
“Ramai jatuh miskin yang menambah kepada peratus miskin bandar, terutama di bandar raya Johor Bahru dan sekitarnya. Ibu bapa juga bergelut bagi memastikan makanan dapat diletakkan di atas meja untuk kesinambungan kehidupan anak-anak mereka,” katanya hari ini.
Justeru, Syed Ibrahim berkata, pihaknya sedar akan kelunturan keyakinan rakyat terhadap sistem politik dan pemimpin negara, sehingga percaya tiada parti benar-benar jujur serta mempedulikan nasib mereka.
Lebih memburukkan keadaan, katanya, apabila perkongsian habuan antara ahli politik untuk kekalkan sokongan, pelaksanaan darurat dan pendekatan menangani COVID-19 yang gagal, bantuan lewat serta pembukaan ekonomi lembap, membuat rakyat bertambah kecewa.
“Ini semua dapat dielakkan jika kerajaan dan ahli politik tumpu kepada dasar yang peka kepada keperluan rakyat dan ada tekad politik untuk mengenepikan propaganda, di samping kepentingan sempit politik serta peribadi.
“Sebab itu, PKR selama ini tetap menekankan prinsip perubahan atau reformasi dan pembelaan rakyat, selain segera menghulur bantuan sama ada semasa puncak COVID-19 atau bencana banjir dan lain-lain,” katanya.
Apa diperlukan sekarang, jelasnya, bukan perebutan kuasa, sebaiknya perancangan dasar dan pelaksanaan program yang mengutamakan rakyat untuk mengeluarkan mereka dari kemelut kesihatan, ekonomi serta politik.
“Mengapa misalnya usaha pembukaan sempadan Malaysia Singapura tidak dapat dilaksanakan lebih segera? Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob umum akan dibuka pada 1 April.
“Menteri Besar (Datuk Hasni Mohammad) kata prosedur operasi standard (SOP) untuk rakyat Johor yang bekerja di Singapura untuk berulang alik akan dimuktamadkan tidak lama lagi. Seharusnya masa terbaik dilakukan ketika PRN Johor,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan tindakan kerajaan terdahulu apabila tiada usaha untuk menarik pelaburan industri strategik yang menawarkan pekerjaan berkualiti kepada graduan.
“Sedangkan strategi perkongsian ‘menang-menang’ dengan Singapura dan Indonesia di rantau ‘SIJORI Growth Triangle’ (Singapura-Johor-Riau) boleh meningkatkan pelaburan asing langsung,” katanya.
Lantaran itu, Syed Ibrahim menegaskan, jika tumpuan tidak terpesong dengan agenda politik melampau, ekonomi Johor dan rakyatnya mampu setaraf dan lebih baik daripada Selangor serta Pulau Pinang.
“Pada tanggal 12 Mac ini, rakyat wajar memilih wakilnya yang faham akan situasi sekarang dan bersedia berkhidmat serta mengangkat suara rakyat Johor.
“Mengekalkan wakil Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bermakna mengangkat budaya rasuah, khianat serta percaturan sempit politik," katanya. - Getaran, 9 Mac 2022.