JOHOR BAHRU - Calon Pakatan Harapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Dr Maszlee Malik akur dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan rakyat memilih Barisan Nasional (BN) untuk menerajui negeri itu.
Maszlee yang mewakili PKR berkata, beliau menghormati keputusan dibuat pengundi Johor hari ini.
Katanya, beliau dan jentera akan mengkaji kelemahan agar dapat memahami kehendak rakyat serta memperbaikinya sebagai persiapan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.
“Saya mendapati perlunya berikan perhatian kepada anak muda, khususnya pengundi kali pertama. Insya Allah, kita akan lebih fokus kepada mereka kerana pola golongan terbabit agar sukar dijangka.
“Namun, kita akan memberi kesedaran berterusan kepada anak muda untuk faham betapa mustahaknya penglibatan mereka dalam pilihan raya dan kepentingan mengundi agar di masa hadapan, golongan itu yakin untuk keluar mengundi dalam memberikan pilihan terbaik,” katanya.
Maszlee menyatakan demikian dalam sidang media yang diadakan menerusi penstriman langsung di Facebook, selepas rasmi tewas dalam perjuangan merebut kerusi DUN Layang-Layang.
Tegasnya, PKR akan terus berjuang bagi memastikan Malaysia bersih dari rasuah dan berintegriti.
“Keputusan ini akan menjadi pembakar semangat saya dan rakan-rakan untuk tidak berputus asa dan terus berjuang demi masa depan negara,” katanya.
Maszlee kalah kepada calon Barisan Nasional (BN), Abdul Mutalip Abdul Rahim dengan majoriti 2,815 undi.
Beliau memperoleh 4,756 undi, berbanding Abdul Mutalip yang meraih 7,551 undi.
Dua lagi calon bertanding di DUN berkenaan adalah wakil Perikatan Nasional (PN), K Alagathiran yang mendapat 1,278 undi dan calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Ahmad Shafiq Othaman dengan hanya 164 undi.
Dalam pada itu, Maszlee berkata, antara faktor utama yang membawa kepada kekalahan itu ialah peratusan keluar mengundi yang amat rendah.
Beliau berkata, ia berkemungkinan diakibatkan oleh kebimbangan rakyat terhadap peningkatan kes COVID-19 susulan penyebaran varian Omicron.
“Kita dapati bahawa peratusan mengundi agak rendah bukan sahaja di DUN Layang-Layang malah di seluruh Johor dan ini agak menjejaskan beberapa peratusan pengundian yang sebelum ini diberikan kepada PH dan PKR.
“Ia juga didorong oleh kegagalan rakyat Johor pulang ke negeri ini untuk mengundi termasuk yang berada di Singapura. Kita hormati keputusan dibuat kerana setiap orang ada alasan dan kebimbangan masing-masing,” katanya.
Maszlee menegaskan bahawa beliau masih Ahli Parlimen Simpang Renggam dan akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di kawasan tersebut.
“Saya tahu ada usaha untuk mempercepatkan pilihan raya dan sehingga detik terakhir tempoh perkhidmatan di Simpang Renggam, saya akan memberikan yang terbaik kepada rakyat tanpa membezakan parti, ideologi, agama dan bangsa.
“Saya akan komited membawa isu-isu berkaitan Simpang Renggam kepada Kerajaan Negeri mahupun di Parlimen nanti untuk membawa isu-isu rakyat. Pertama berkaitan pendidikan yang sentiasa berada dalam jiwa saya, isu-isu berkaitan OKU dan masyarakat rentan dan masyarakat di Simpang Renggam,” katanya.
Mantan Menteri Pendidikan itu menarik perhatian, beliau akan kembali aktif dalam jawatankuasa khas pendidikan.
“Seperti biasa saya akan membawa isu pendidikan, ke Parlimen. Menjadi telinga, dan suara kepada rakyat sekelian,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh mengesahkan keputusan rasmi PRN Johor hari ini, dengan BN menang 29 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Kemenangan selesa itu menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan Johor yang baharu dengan majoriti dua pertiga.
Statistik SPR setakat jam 12.20 tengah malam menunjukkan BN telah menang 40 kerusi manakala PH (11), PN (3), MUDA (1) dan PKR (1). – Getaran, 13 Mac 2022.