KUALA LUMPUR - Penolakan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi tempoh lima tahun di Dewan Rakyat semalam sama sekali tidak menjejaskan kerajaan sedia ada.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan, kerajaan hanya akan tumbang sekiranya kalah pada usul undi percaya atau Rang Undang-Undang (RUU) yang melibatkan kewangan.
Menurut beliau, pelanjutan Seksyen 4(5) ini juga tidak termaktub dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik Kerajaan Persekutuan bersama Pakatan Harapan (PH), malah penolakan RUU itu juga tidak membatalkan perjanjian tersebut.
“Kita tidak mempertikaikan keperluan memerangi keganasan dan menjaga keselamatan negara. Tetapi keperluan hak asasi manusia jangan diperlekehkan. Jangan tunggu kita atau keluarga kita menjadi mangsa.
“Menurut Penolong Profesor UIA-ISTAC Dr Ahmad el-Muhammady yang pernah bekerja rapat dengan Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas PDRM serta program Pemulihan Deradikalisasi Jabatan Penjara, wujud kelompongan dalam SOSMA dan ia akan menimbulkan masalah,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram hari ini.
Nik Nazmi menjelaskan, antara kelemahan di bawah akta itu adalah individu boleh ditahan sekiranya memiliki bahan yang boleh dikaitkan dengan keganasan atau memegang ideologi berkaitan terorisme.
Ketua Setiausaha Pengelola PKR itu berkata, pihaknya turut menerima laporan bahawa walaupun suspek telah menang di mahkamah setelah ditahan selama 28 hari, namun proses rayuan yang mengambil masa bertahun menyebabkan mereka masih di bawah tahanan.
“Sebenarnya ramai rakyat biasa termasuk orang Islam yang menjadi mangsa SOSMA. Semalam ketika mencelah Hamzah, saya membangkitkan kes dari Parlimen Setiawangsa.
“Mustaza Abdul Rahman ialah anak seorang pesara polis. Beliau sendiri sertai polis sehingga ke pangkat Lans Korporal. Pada tahun 2016, Mustaza ditahan di bawah SOSMA.
“Beliau mengadu didera polis E8 (Counter-Terrorism) ketika tahanan 28 hari SOSMA. Ini termasuk ditutup mata, dibogel dan kemaluan diraba. Kepalanya dipukul, dan gambarnya dalam keadaan bogel turut diambil,” katanya.
Bagaimanapun Nik Nazmi mendedahkan, terdapat pegawai polis bawahan datang memohon maaf kepada keluarga Mustaza, atas alasan ‘arahan pihak atasan’.
“Beliau menandatangani dokumen yang kemudian dikatakan ‘pengakuan’. Seperti banyak kes SOSMA lain, ada ‘saksi hantu’ yang identiti disembunyikan.
“Dari awal saya menjadi wakil rakyat saya cuba menjadi suara kepada isu yang Mustaza dan keluarga hadapi. Saya bersama Syed Ibrahim (Ahli Parlimen Ledang) dan Maria Chin pernah membawa keluarga beliau bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Menteri Dalam Negeri di Parlimen pada 2018. Beliau berjanji memanggil mesyuarat tetapi tidak kunjung tiba,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, keputusan tersebut merupakan tamparan hebat ke atas kerajaan yang dilihat mula hilang kepercayaan daripada majoriti Ahli Parlimen.
Justeru, menurut beliau, tidak timbul isu keselamatan terjejas atau pembangkang tidak hiraukan rakyat kerana terdapat undang-undang lain yang boleh digunakan dan diaplikasikan.
“Selepas peristiwa ini maka terdapat pimpinan UMNO yang mendakwa kerajaan sudah tidak terikat lagi dengan MoU antara Kerajaan dan PH. Ini tidak benar sama sekali kerana usul tersebut bukan dalam MoU dan tidak dirundingi atau dipersetujui secara bersama pada dasarnya, mengikut Fasal 3.3(b) MOU.
“Saya mahu mengingatkan pemimpin-pemimpin UMNO ini untuk tidak menangguk di air yang keroh. Bersikap jujurlah dalam menerima kenyataan bahawa kamu berada sama-sama dalam kerajaan tetapi telah gagal menyokong usul,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menegaskan kerajaan perlu memberi penjelasan berikutan kegagalan 31 ahli Parlimen mereka untuk hadir ketika sesi pengundian dijalankan terhadap usul pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Berdasarkan pemerhatian, tegasnya, antara yang tidak hadir adalah Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak; Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.
“Dari mereka jaja cerita kononnya Pakatan Harapan gagalkan MoU, lebih baik mereka jelaskan kenapa mereka tak hadir untuk sokong usul Kerajaan sendiri.
“Kalau 2, 3 dari mereka ini hadir pada masa mengundi, usul kerajaan pasti lulus. Kenapa tak hadir?” soalnya. - Getaran, 24 Mac 2022