KUALA LUMPUR - Pembentukan parti pembangkang di bawah konsep 'khemah besar' perlu segera dilaksanakan sebagai langkah bersiap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali berkata, konsep tersebut perlu diperkukuhkan di antara Pakatan Harapan (PH) dan semua parti pembangkang demi menyelamatkan Malaysia dari pemerintah gagal yang mengamalkan rasuah serta salah guna kuasa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pimpinan tertinggi setiap parti komponen pembangkang diharap tidak mewujudkan konflik perebutan kuasa yang mampu memberi imej negatif kepada gabungan itu, selain boleh membuka peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk memenangi hati rakyat.
“Perpaduan di antara pembangkang penting kerana selagi mereka berpecah, BN dan UMNO akan menang tetapi ada masalah bakal dihadapi pembangkang sendiri. Tiap-tiap parti komponen yang mahu bersatu itu sibuk pula berebut soal siapa nak jadi Perdana Menteri.
“Perkara itu membuktikan mereka (parti) bukan mahu bersama, namun sibuk nak merebut jawatan di samping ada tindakan dari pembangkang sendiri memusuhi pemimpin tertentu.
“Maka, kerana perkara terbabit sebenarnya, sukar untuk mendapatkan perpaduan antara parti pembangkang,” katanya pada wawancara esklusif Getaran dan The Vibes hari ini.
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil menegaskan, kesepakatan dicapai partinya, DAP dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah permulaan kepada satu penjajaran politik.
Beliau berkata, pembahagian kerusi itu dibuat demi membina kekuatan pembangkang di bawah khemah besar sebagai satu united front (barisan bersatu).
Jelasnya, memandangkan ketiga-tiga parti itu berjuang di atas jalur sama bagi melawan rasuah dan kezaliman, elemen terbabit menjadi magnet yang mengikat kesepakatannya dalam satu kekuatan khemah besar.
Kata beliau, khemah besar dalam PRN Johor itu adalah perintis kepada penyatuan parti pembangkang untuk menggembleng tenaga dan suara seluruh rakyat bagi menyelamatkan Malaysia daripada pemerintah rasuah serta gagal.
Dalam pada itu, ditanya sekiranya sesuai untuk mengadakan PRU-15 dalam masa terdekat, Syed Husin menegaskan peratusan keluar mengundi dijangka rendah sekiranya diadakan dalam keadaan tergesa-gesa.
Mantan pengasas PKR itu berkata, ia dibuktikan di PRN Melaka dan PRN Johor apabila pandemik COVID-19 menjadi faktor utama pengundi, terutamanya yang berada di luar negeri berkenaan enggan melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Ini bukan masa sesuai untuk buat PRU-15 kerana suasana COVID-19 itu orang ramai takut keluar mengundi, di samping pelaksanaan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang turut menyekat pembangkang dan membantu memudahkan pihak kerajaan untuk menang.
“PRU dalam masa terdekat juga merugikan dan tidak menguntungkan pembangkang. Macam UMNO, mereka ada akar umbi kuat di dalam negeri, manakala pembangkang banyak bergantung kepada pengundi luar. Bila jumlah peratus keluar undi rendah terhadap golongan (pembangkang) itu, maka keputusannya berpihak pada kerajaan,” katanya.
Sementara itu, walaupun terdapat keperluan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan proses pengundian dalam talian, Syed Husin meyakini perkara itu sama sekali tidak akan dilaksanakan kerajaan.
“Memang patut pun undi secara dalam talian ini dibuat, namun pihak pemerintah tak mahu lakukan perkara itu kerana sudah pasti jawapannya, mereka takut kalah dalam pilihan raya. Sebab itu SPR sebenarnya tidak bebas.
“Bila pihak pemerintah tak mahu laksanakan, SPR akan ikut kerajaan walaupun negara sememangnya sudah memiliki teknologi diperlukan bagi melaksanakan proses pengundian secara talian,” katanya.
Mengulas lanjut, sebagai ahli politik veteran, Syed Husin mengharapkan agar generasi muda dapat melaksanakan tanggungjawab untuk membuang undi sebagai pilihan dan jalan baharu untuk membuat perubahan.
“Namun kalau anak-anak muda ini terlalu ikut rentak orang lama, maka tak banyak juga perubahan akan berlaku. Jadi, golongan terbabit diharap mampu membawa perubahan baharu kepada masyarakat.
“Pemimpin veteran juga perlu berganding bahu bersama ahli politik muda kerana gabungan dan kesepaduan itulah yang akan mewujudkan interaksi dalam membawa perubahan negara,” katanya. – Getaran, 30 Mac 2022.