KUALA LUMPUR - Penyebaran dokumen sulit yang didedahkan beberapa pihak sebagai minit mesyuarat PAS (PAS Leak) hanya cubaan bagi meretakkan hubungan baik parti itu dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, tindakan terbabit adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.
Menurut beliau, ia adalah perkara diimpikan pihak musuh yang mahu melihat perpecahan parti komponen dalam gabungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Dakwaan dilakukan ini semata-mata hendak mematahkan muafakat dan melihat perpecahan parti Melayu menerusi MN dan PN.
“Nama leak (PAS Leak) ini rubbish (sampah) dan saya setuju dengan apa kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ianya sampah,” katanya hari ini.
Terdahulu, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS menegaskan, partinya enggan melayan tohmahan berhubung kebocoran minit mesyuarat PN yang dikatakan merancang menjatuhkan UMNO dan BN.
Beliau turut menafikan sekerasnya pembabitan parti itu dalam pakatan berkenaan, susulan penyebaran dokumen terbabit yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri mengakui ada pertemuan antara beliau bersama beberapa individu yang nama mereka tertera dalam dokumen itu, namun ia bukan bertujuan menjatuhkan pemimpin UMNO dan BN.
Dalam pada itu, Idris berkata, perkara tersebut tidak pernah sama sekali dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat PAS.
“Kami bermesyuarat tak pernah bincang pun bab itu. Saya ini pemimpin tertinggi PAS. Nama pun leak (bocor), sudah tentu tidak betul.
“Saudara (pemberita) pun mengaji bab media kan, nak ambil sumber ini biarlah ‘source’ jelas dan betul,” katanya.
Mengulas lanjut, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, tindakan menyebarkan tangkap layar dokumen tersebut turut dilihat sebagai meraih perhatian rakyat.
“Dia orang tak ada kerja lainlah tu. Orang tak ada kerja lain nak bagi laku berita, berita pun nampak tak berapa nak laku.
“Pada masa sama, pendedahan palsu itu juga kadang-kadang hanya nak bagi laku saluran YouTube dia supaya orang bayar untuk menontonnya,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga senada dengan Idris dan Ahmad Samsuri mengenai dokumen tersebut.
“Saya ingin menafikan, bahawa tiada sebarang perbincangan dalaman PN untuk menjatuhkan sesiapa termasuk beberapa pemimpin UMNO yang dikaitkan dengan dokumen itu.
“Saya Setiausaha Agung PN, saya tak tahu pun ada perkara ini. Jadi, betullah Dr Samsuri kata itu dokumen sampah, kerana tiada perbincangan,” katanya.
Hamzah menjelaskan, beliau boleh mengesahkan bahawa Dr Ahmad Samsuri ada menemuinya, namun ia berkaitan perbincangan mengenai ‘post mortem’ pilihan raya negeri (PRN).
Jelasnya, rakyat sepatutnya tidak ambil kisah mengenai dokumen itu kerana ia memang dokumen ‘sampah’.
Sejak beberapa hari lalu, keratan minit mesyuarat dan agenda untuk menjatuhkan pemimpin UMNO, termasuk mempercepatkan hukuman terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak tular di media sosial.
Antara kandungan minit mesyuarat itu adalah rancangan mengenai tindakan untuk menjatuhkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan mengaitkannya dengan kluster mahkamah. - Getaran, 22 April 2022.