KUALA LUMPUR - Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti di Dewan Rakyat, kelmarin ternyata melegakan rakyat khususnya pengundi.
Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, keputusan penuh bersejarah itu bukan hanya memenuhi mandat rakyat tetapi berupaya membanteras amalan rasuah dalam kalangan ahli politik.
Menurut beliau, menerusi pindaan Perlembagaan itu, Ahli Parlimen akan berpegang pada prinsip politik utuh, selain menjadi pemimpin yang lebih berdisiplin.
Katanya, pindaan Perlembagaan yang digubal itu mengandungi empat perenggan dan enam fasal, dengan empat daripadanya adalah fasal baharu.
"Fasal Baharu 4 bertujuan memasukkan Perkara baharu 49A ke dalam Perlembagaan Persekutuan untuk memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan itu dan kerusinya hendaklah kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang Dipertua Dewan.
“Mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti politik atau mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politik yang beliau menjadi calon semasa pilihan raya untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat Bebas, akan terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi,” katanya kepada Getaran.
Justeru beliau berkata, RUU itu akan mengukuhkan lagi peranan sebuah parti dalam kerajaan dan menjamin tugas seorang Ahli Parlimen.
Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook (DAP) pula berpendapat, pindaan tersebut akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi di negara ini.
"Diharap pindaan tersebut akan mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap sistem demokrasi kita.
“Pada masa sama, parti politik masing-masing perlu ada mekanisma untuk memastikan setiap ahli mereka bertindak mengikut keputusan parti,” katanya.
Jelas beliau, RUU itu merupakan perjanjian persefahaman (MOU) antara kerajaan Perikatan Nasional dan blok pembangkang pada awal pembentukan kerajaan meletakkan salah satu syarat MOU itu iaitu membentang RUU Anti Lompat Parti.
Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar turut menyambut baik pindaan Perlembagaan tersebut.
Menurut beliau, tindakan melompat parti bukan hanya isu politik, tetapi satu pengkhianatan kepada mandat diberikan rakyat.
“Tindakan melompat parti sesuka hati inilah menimbulkan krisis politik yang menyebabkan kita kehilangan sebuah kerajaan beberapa kali dalam tempoh tiga tahun ini,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, terdapat beberapa kelompongan dalam pindaan tersebut yang perlu diperbaiki.
“Ada kekurangan dari sudut keberkesanan undang-undang apabila seseorang wakil rakyat yang tidak lagi setia dan melakukan perkara bertentangan dengan parti tetapi masih kekal kerana berharap akan dipecat.
“Mereka tidak dianggap melompat parti namun kelompangan ini boleh diatasi jika parti politik meminda perlembagaan masing-masing dengan menetapkan tindakan sebegitu juga dikategorikan sebagai melompat parti,” katanya.
Tambah Mahfuz lagi, RUU itu juga tidak menangani isu berkaitan parti yang bertukar gabungan selepas pilihan raya selain wakil rakyat yang dipecat parti tidak termaktub untuk kekosongan kerusi.
“Namun kelulusan itu kita anggap kemenangan kepada rakyat dan diharapkan langkah berkenaan dapat mengembalikan keyakinan rakyat selepas mandat mereka dikhianati katak politik,” katanya. - Getaran, 30 Julai 2022.