KUALA LUMPUR - UMNO harus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengkhianati parti tanpa mengira status, sama ada ahli biasa atau berjawatan.
Ketua Puterinya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, pengkhianat parti adalah seperti barah yang jika tidak dipotong, ia akan merebak dan merosakkan seluruh ‘sistem tubuh’ UMNO.
“Kita tidak boleh bertolak-ansur dengan mereka yang mengkhianati parti tidak kiralah ahli biasa atau yang memegang jawatan, tindakan mesti diambil segera.
“Kita kena sanggup sakit dibedah hari ini daripada kita menderita di stage 5 yang akan memusnahkan seluruh tubuh badan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Justeru, beliau berkata, kepimpinan UMNO tidak boleh bertolak-ansur terhadap mana-mana ahli dan pemimpin yang memburukkan parti serta cuba membina parti dalam parti.
“Seperti pasukan bola, tak mungkin kita boleh terima pemain yang dengan sengaja menyepak bola ke gol sendiri atau membantu lawan menyumbat bola ke gol kita. Pasukan ada disiplin dan parti juga ada disiplin.
“Mana-mana yang merasakan dirinya lebih besar daripada parti harus diambil tindakan disiplin. Berparti ada adabnya, tiada tempat untuk mereka yang biadab terhadap parti,” katanya.
Dalam pada itu, Zahida berkata, UMNO memerlukan pembaharuan termasuk menambat hati pengundi muda dalam usaha untuk terus kekal relevan.
Katanya, parti pimpinannya bersedia menjadi agen pembaharuan tersebut untuk tujuan itu.
“Kita sepatutnya menjadi penentu trend baru dalam parti. Kalau parti perlu reform, maka Puterilah sepatutnya menjadi agen reformasi terkuat dalam parti.
“Sebagai orang muda mari kita perah otak kita untuk memberi dimensi muda untuk meremajakan parti yang kita sayangi,” katanya.
Menurut beliau, tersungkur sebelum melakukan pembaharuan hanya akan memberikan kerugian kepada UMNO.
“Zaman sekarang zaman real time semuanya telus dan sentiasa diperhatikan.
“Setiap pemimpin mesti multitasking, boleh merencana tetapi peka kepada desas-desus termasuk di alam maya,” katanya.
Sementara itu, Zahida menggesa agar Akademi atau Institut UMNO ditubuhkan segera bagi melahirkan pemimpin yang mahir tentang konsep bernegara.
“Kita tidak mahu dilihat gagal apabila berbahas dan berhujah di Parlimen atau forum besar di negara kita. Kita tidak mahu hanya melahirkan pendukung yang mengharap habuan dari hubungan dalam parti sekiranya parti ini berkuasa.
“Tanpa institusi ini kita tidak dapat melahirkan pemimpin yang serius dalam memperkatakan tuntutan ekonomi, undang-undang, keselamatan, alam sekitar dan pelbagai isu kenegaraan yang semakin rumit dan perlu kepimpinan untuk menyelesaikannya,” katanya.
PAU berlangsung semalam dan akan berakhir Sabtu ini. – Getaran, 12 Januari 2023