ALOR SETAR, 4 Jun - Pengagihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) masih belum dimuktamadkan, walaupun bahangnya kian terasa.
Ia sedikit sebanyak menimbulkan keresahan, apatah lagi Kerajaan Perpaduan berdepan tugas berat jika mahu merampas tiga negeri yang kini dikuasai PAS iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, atau setidak-tidaknya merapatkan jurang pemilikan kerusi.
PRN juga menyaksikan usaha berterusan perlu dilakukan PH agar kedudukan mereka di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang terus diperkukuh.
Susulan itu, Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, semangat perpaduan yang diterapkan di peringkat Pusat harus diterjemah ke setiap negeri.
Menurut beliau, ia penting sekiranya Kerajaan Perpaduan berhasrat merampas semua negeri yang kini berada di bawah pegangan PAS.
“Kriteria penting untuk kekalkan persefahaman antara PH-BN terutama dalam agihan kerusi adalah semangat perpaduan dan Madani dengan mengekalkan hubungan baik antara parti-parti komponen, jika mahu rampas Kedah serta dua lagi negeri bawah Perikatan Nasional (PN).
“Keserasian itu telah dibuktikan dalam Konvensyen Negeri dan pelancaran jentera parti di peringkat Parlimen yang telah diadakan,” katanya.
Jelas Azizuddin, gabungan PH-BN sikap hormat, kompromi dan saling bekerjasama antara parti adalah ramuan yang harus diadun
bagi memastikan kemenangan, seterusnya mengambil alih kerajaan Kedah.
“Bagi saya, kriteria pengagihan kerusi perlu berasaskan kepada siapa pemenang di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut yang akan dikekalkan bertanding di situ.
“Sekiranya di kawasan tewas, siapa yang mendapat tempat kedua wajar bertanding, dan akhirnya siapa yang paling berpeluang menang harus diketengahkan sebagai calon di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Mohd Azizuddin berkata, tidak mustahil sekiranya pembahagian kerusi untuk enam PRN berkenaan dibuat berasaskan formula 19-17 untuk PH dan BN di Kedah.
“Formula itu dilihat sangat adil. BN semestinya akan meminta sekurang-kurangnya satu DUN untuk ditandingi di semua kawasan Parlimen.
“Ada kawasan Parlimen mempunyai tiga kerusi DUN seperti di Baling, Kuala Kedah, Jerai, Alor Setar dan Sungai Petani. Ini menjelaskan kematangan PH dan BN Kedah dalam membuat keputusan secara bersama yang jelas mencerminkan aspirasi Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional,” jelasnya.
Tambah beliau, PH-BN harus menggerakkan jentera kempen secara bersama dengan menunjukkan keakraban untuk bersama mentadbir Kedah untuk meraih kemenangan di negeri yang tapaknya agak kukuh dengan gelombang hijau.
“Mereka harus kemukakan cadangan dasar melalui manifesto untuk menarik sokongan pengundi dalam meningkatkan sosioekonomi penduduk Kedah.
“Kerajaan Perpaduan yang akan dibina di Kedah mestilah mencerminkan kestabilan politik dan mempunyai hubungan baik dengan Persekutuan, selain memanfaatkan pengalaman yang ada untuk mentadbir Kedah dengan lebih baik,” ujarnya.
Tegas Azizuddin, imej dan tawaran kepada rakyat Kedah juga penting untuk memenangi jiwa 2.4 juta pengundi di negeri ini.
Sementara itu, Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian turut meluahkan pandangan senada dan menyifatkan PH-BN perlu mencari formula terbaik dalam agihan kerusi untuk kekalkan keharmonian sesama parti.
“Agihan kerusi hendaklah adil dan mengandungi elemen menang-menang agar tidak mengganggu gerak kerja. Ia bukan mudah namun tidak mustahil sekiranya ditunjangi semangat perkongsian dan kepunyaan bersama.
“Persetujuan sebelum ini yang berdasarkan status quo tidak lagi sesuai untuk situasi semasa kerana agihan mestilah sama rata atau mengikut kekuatan setiap DUN. Bertanding bukan sekadar masuk gelanggang tetapi untuk menang walau siapa menjadi calon sekalipun,” katanya.
Jelas beliau, perbincangan mungkin boleh dimulakan dengan kaedah sama rata mengikut kekuatan masing-masing.
“Kalau 50:50 sukar dicapai, formula lain adalah 60:40 untuk BN atau PH,” katanya.
Sivamurugan berkata, kriteria penting lain termasuk memilih calon Menteri Besar berwibawa yang boleh menyaingi populariti Menteri Besar sedia ada, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Pastikan pemilihan calon diterima semua, saling kompromi demi kemenangan, gerakkan jentera bersepadu selain elakkan sabotaj dalaman serta tangani isu secara rasional dalam mengurus persepsi kalangan pengundi,” ujarnya.
Menurutnya lagi, semangat perpaduan harus dipupuk dengan mencari persamaan dan meraikan perbezaan tanpa perlu menjadi musuh dalam selimut atau sokong membawa rebah.
“Masing-masing perlu ada matlamat untuk rampas negeri ini kerana tumpuan terarah kepada Kedah berbanding negeri lain. Ia boleh dilakukan jika semua pihak memiliki tekad politik untuk menang.
“Semangat kesepaduan itu penting untuk menggambarkan PH-BN sudah bersedia menguburkan persengketaan politik dan bergerak sebagai satu pasukan diketuai seorang ‘kapten’ yang kewibawaannya dikagumi dalam dan luar parti,” jelasnya. - Getaran, 4 Jun 2023