Hujung minggu selalunya ramai yang luangkan masa dengan acara makan-makan. Pantang terdengar lokasi selera sohor kini di media sosial, pasti berburu ke sana bersama teman-teman. Dengan lambakan kafe yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, bukan susah pun membuat pilihan.
Selalunya kalau sudah sampai di kafe, apa menu yang sering jadi pilihan? Mana mungkin hidangan pemanis mulut dipandang sepi. Hidangan inilah yang menjadi tarikan atau pelaris kebanyakan kafe popular masa ini.
Burnt cheesecake, kek pandan gula melaka, kek Lotus Biscoff, kek Victoria Sandwich, donut, cronut dan pelbagai jenis tart yang tinggi kandungan gula memang menggoda selera sesiapa sahaja. Itu belum lagi sentuh jenis minuman yang dipesan.
Tahukah anda latte bersaiz sederhana kandungan kalorinya adalah kira-kira 170kcal? Itu latte biasa, tidak ditambah dengan sebarang perisa. Jadi, apabila jumlah kalori minuman dan pemanis mulut digabungkan, pasti pengambilan kalori anda bukan sedikit.
Mereka yang sering menikmati makanan yang tinggi gula akan mula ‘ketagih’ dengan makanan-makanan ini. Mengapa? Ini kerana setelah mengambil makanan bergula kegemaran, seseorang akan mengalami pertambahan tenaga.
Namun setelah beberapa ketika, tahap gula di dalam darah mula menurun sehingga membuat tubuh semakin ketagihan gula. Ini berlaku kerana tubuh telah terbiasa memiliki tahap gula dalam darah yang tinggi.
Terlalu banyak gula dalam darah akan melemahkan sistem kekebalan dan tubuh mudah berasa letih. Malah anda juga berisiko diserang penyakit diabetes. Terutamanya jika anda kurang bersenam dan lebih berusia. Lupakan juga niat hendak menurunkan berat badan sebab ia tidak mungkin berlaku.
Jadi, jika anda mahu tampil ramping di Aidilfitri nanti, kurangkanlah pengambilan gula mulai sekarang. Dalam seminggu boleh buat sehari ‘cheat day’ yang membolehkan anda menikmati hidangan yang paling diidamkan.
Berikut merupakan beberapa cara untuk menghentikan kebiasaan mengambil makanan bergula:
1. Banyakkan minum air kosong. Anda tahukan cara yang betul menghitung keperluan air mengikut berat badan? Kalau masih belum pasti, hafal kiraan ini. 1 liter untuk setiap 25kg berat. Contoh, kalau berat anda 75kg, jadi jumlah air yang perlu diminum ialah (75 kg ÷ 25kg = 3 liter).
2. Minum teh herba. Teh herba bukan hanya mampu menghilangkan rasa dahaga, malah ia memiliki khasiat untuk kesihatan tubuh badan. Selain boleh mencegah kanser perut, ia juga mampu mencegah masalah gigi berlubang. Untuk mencegah kanser perut, teh yang baik untuk diminum adalah dari jenis teh hijau, yang mengandungi zat antioksidan.
3. Ambil suplemen. Vitamin C misalnya sangat bermanfaat untuk membantu mengawal kebiasaan mengambil makanan bergula. Vitamin C semulajadi banyak ditemui dalam buah oren dan buah kiwi. Sementara magnesium membantu mengatur tahap gula dalam darah dan banyak diperolehi daripada sayuran berdaun hijau, kekacang, bijirin, ikan dan daging.
4. Pilih makanan daripada bahan pemanis semulajadi seperti madu. Pemanis semulajadi banyak diperolehi dalam bentuk sirup dan merupakan salah satu jenis makanan yang menyihatkan tubuh badan. Bahkan, ia juga mengandungi lebih banyak nutrisi jika dibandingkan dengan gula biasa.
5. Baca label makanan sebelum membeli sesuatu produk makanan. Sebaiknya, teliti dahulu dengan membaca label yang tertera di atas pembungkus makanan, terutama kadar gulanya. Ini kerana sebahagian makanan, kadar gulanya tersembunyi kerana tidak dilabelkan dengan nama gula tetapi dinamakan sebagai sukrosa, glukosa, maltosa, fruktosa dan sebagainya.
6. Diet yang bagus mesti terdiri daripada protein, karbohidrat dan lemak yang seimbang. Lemak dan protein akan menghalang penyerapan karbohidrat di dalam aliran darah dan akan memberikan sumber tenaga yang stabil serta akan menjaga tubuh kekal sihat. - Getaran, 18 Jun 2024
Gambar: pexel