KUALA LUMPUR - Kes jenayah akibat halusinasi beberapa kali dilaporkan media di negara ini.
Dalam kebanyakan kes, mangsa mendakwa terdengar suara halus mengganggu atau menghasut mereka melakukan tindakan tertentu, termasuk mencederakan diri sendiri atau mendatangkan bahaya kepada orang sekeliling.
Terbaru, seperti dilaporkan Getaran baru-baru ini, seorang lelaki menimbulkan kegemparan awam apabila cuba terjun dari bumbung Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di Kedah, setinggi empat tingkat, akibat halusinasi.
Lelaki itu pada awalnya datang ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan kerana mendakwa seperti diekori seseorang, menyebabkan dia tertekan dan melarikan diri dengan menaiki tangga ke bumbung.
Berbicara mengenai isu berkenaan, Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, halusinasi boleh berlaku disebabkan beberapa faktor, termasuk keturunan dan trauma dialami seseorang ketika zaman kanak-kanak.
Katanya, walaupun kes halusinasi di negara ini tidak membimbangkan, masalah itu harus dirawat pada peringkat awal bagi mengelakkannya bertambah serius dan membawa risiko kepada individu serta orang sekeliling.
“Halusinasi atau lebih dikenali sebagai Skizofrenia dalam istilah perubatan adalah sejenis penyakit mental yang serius kerana ia mengganggu kewarasan seseorang individu.
"Walaupun kadar kes halusinasi di negara kita tidak setinggi penyakit mental lain, ia boleh menjadi masalah paling menjejaskan hidup seseorang individu, terutama jika tidak dicegah pada peringat awal,” katanya ketika dihubungi Getaran hari ini.
Dr Shazli Ezzat berkata, selain genetik atau sejarah keluarga yang turut berdepan komplikasi masalah itu, tekanan hidup atau pengambilan dadah menjadi faktor penyumbang halusinasi.
Jelasnya, halusinasi berpunca daripada ketidakseimbangan bahan kimia di dalam sel otak manusia dan boleh berlaku secara visual, sentuhan serta bauan, tetapi tidak sebanyak halusinasi auditori.
“Halusinasi juga adalah kepercayaan karut yang tidak dapat disanggah oleh sesiapapun, malah mereka (mangsa) percaya sepenuhnya bahawa apa difikirkan itu benar berlaku.
“Antara halusinasi sering ditemukan adalah jenis ‘paranoid’, iaitu pesakit percaya bahawa ada orang berniat jahat kepada mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Shazli Ezzat berkata, halusinasi boleh dipulihkan dan antara kaedah rawatan untuk mereka yang mengalami masalah ini adalah pengasingan.
Halusinasi, katanya, adalah masalah mental yang sangat berbahaya, namun pesakit boleh sembuh dengan rawatan betul dan berterusan.
Menurutnya, tanpa rawatan terbaik masalah ini sukar dipulihkan kerana mereka yang mendepaninya, mengalami kesukaran untuk menilai sama ada gangguan dirasai adalah benar atau tidak.
“Contohnya, mereka merasakan seolah-olah berada di medan perang. Maka orang itu secara automatiknya akan percaya bahawa dia di medan perang sebenar dan akan memegang senjata bahaya, sekali gus mula untuk mencederakan orang,” katanya.
Situasi itu, katanya, mungkin menyebabkan ancaman kepada diri mereka yang mengalaminya dan orang di sekeliling.
“Secara lazimnya, hanya sebilangan kecil individu yang berisiko dan ia biasanya disebabkan oleh gejala psikosis apabila mereka tidak mendapatkan rawatan atau rawatan diberikan tidak optimum.
“Dengan rawatan awal dan pemulihan sebaiknya, proses penyembuhan akan lebih cepat serta meminimumkan penjejasan fungsi hidup,” - katanya. - Getaran, 25 Februari 2022.