KUALA LUMPUR - Satu sindiket penipuan tawaran darjah kebesaran melibatkan kerugian berjumlah RM294,850 berjaya ditumpaskan selepas pasukan polis menahan tiga individu termasuk dua wanita.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Mahidisham Ishak berkata, kesemua suspek berusia 29 hingga 39 tahun itu ditahan pada kelmarin dan Khamis lalu.
Menurut beliau, tangkapan dibuat susulan laporan seorang pengedar kit perubatan farmasi pada 8 Mac lalu.
“Mangsa berusia 33 tahun itu mendakwa telah ditawarkan darjah kebesaran Datuk Seri oleh seorang daripada suspek pada 1 Disember lalu, dengan syarat mangsa perlu mendermakan wang sebanyak RM300,000 kepada pihak istana.
“Mangsa telah buat bayaran tunai sebanyak RM200,000 serta pindahan wang sebanyak RM94,850 ke dalam akaun suspek sejak 14 Januari hingga 31 Januari lalu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Mahidisham berkata, mangsa telah diberikan dokumen watikah penganugerahan darjah kebesaran, dua keping kad Ahli Setia Diraja dan dua unit logo atau emblem kereta darjah kebesaran milik sebuah negeri.
“Walau bagaimanapun, rakan mangsa yang merupakan seorang Datuk Seri memaklumkan pelantikan tersebut adalah meragukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut merampas dokumen pengurniaan darjah kebesaran.
Seorang daripada suspek katanya, turut mendakwa dia bergelar Datuk Seri.
“Hasil semakan dengan Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis Rasmi mengesahkan nama suspek tiada di dalam senarai,” katanya.
Mohd Mahidisham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) (b) Akta Kesalahan Yang Berhubung dengan Anugerah 2017.
“Orang ramai dinasihatkan membuat semakan penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat secara dalam talian melalui istiadat.gov.my.
“Jangan mudah percaya berdasarkan pengakuan lisan gelaran Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat sebaliknya semak watikah pelantikan,” katanya. - Getaran, 16 Mac 2022