KUALA LUMPUR - Pelantikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) membuktikan Menteri di Jabatan (Hal Ehwal Agama) tidak lagi mempunyai kuasa ke atas badan tersebut.
Peguam, Dr Zulqarnain Lukman berkata, ini membuktikan tindakan menteri tersebut sudah semakin terhakis apabila Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) tidak lagi mentadbir MKI.
"Oleh itu, apa yang menjadi tanda tanya sekarang apakah peranan Menteri Agama kelak apabila MKI sudah diletakkan terus di bawah Majlis Raja-Raja Melayu.
"Selama ini Menteri Agama akan dirujuk untuk memutuskan sesuatu perkara berkaitan pentadbiran JAKIM seperti perlantikan Ketua Pengarah dan lain-lain perjawatan termasuk agensi di bawahnya, maka kali ini nampaknya Menteri Agama sudah kehilangan kuasa tersebut," katanya kepada Getaran, hari ini.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu hanya membuat ketetapan bahawa seorang daripada Raja Pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) selama dua tahun secara bergilir-gilir.
Pada masa sama, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, berkata, Perdana Menteri pula akan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.
Susulan perkembangan itu, beliau mengesahkan mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 berkenan memilih Sultan Sharafuddin sebagai Pengerusi MKI untuk tempoh dua tahun.
Justeru, Syed Daniel menyifatkan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja adalah kurang tepat dan boleh mengelirukan.
Dalam pada itu, Zulqarnain berkata, perkara tersebut akan mewujudkan perubahan positif disebabkan ahli politik tidak lagi mampu campur tangan terhadap institusi agama.
"Bagaimanapun, ia tidak menjamin tiada ‘politiking’ akan berlaku kerana ramainya agamawan kelak.
"Ini kerana golongan itu akan menghimpit ‘orang-orang istana’ untuk dilantik ke jawatan tertentu yang pastinya mendapat kuasa dan upah gaji yang lumayan,” tegasnya.
Daripada sudut pentadbiran, beliau menegaskan ia sedikit sebanyak akan mengubah struktur dan strata politik di negara ini.
Bagaimanapun, beliau mengharapkan agar pentadbirannya diuruskan oleh wakil rakyat kerana mereka adalah pembuat dasar dan bertanggungjawab di Parlimen.
"Mereka juga mampu menyemak mahupun menyiasat pihak tertentu yang tidak menjalankan tugas atau berlaku salah laku.
"Hal tersebut lebih mudah diurus berbanding dengan menyerahkan urusan tersebut kepada pihak yang tidak bertanggungjawab kepada Parlimen," katanya. - Getaran, 18 Mac 2022.