KELANA JAYA - Kerajaan didesak agar tidak meneruskan pelaksanaan gaji minimum baharu yang bakal dikuatkuasakan 1 Mei nanti.
Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Datuk Seri Ramli Yusuff berkata, industri masih terhimpit dengan pelbagai isu kesan kegawatan ekonomi, selain dibelenggu kegagalan kerajaan melunaskan hutang tertunggak berjumlah lebih RM53 juta kepada syarikat keselamatan di bawah persatuan itu.
Menurut beliau, jika kadar baharu itu ditetapkan, pihaknya yakin industri keselamatan negara akan terkesan, malah banyak syarikat akan gulung tikar, sekali gus mengancam masa depan dan ramai pekerja.
“Sekiranya ia dilaksanakan, industri akan terbeban disebabkan kegawatan global dan banyak syarikat tidak mampu membayar kenaikan itu kepada pekerja mereka. Hari ini juga ramai ahli masih menanggung hutang tertunggak akibat penyelarasan gaji minimum terdahulu yang masih belum dibayar oleh kerajaan.
“Kebanyakan syarikat terpaksa mengeluarkan ‘advance’ sehingga RM200,000 ke RM300,000 dan mereka terbabit dengan kontrak kerajaan. Jika ini masih berterusan, kita semua akan gulung tikar dan akan mewujudkan sindiket pengawal keselamatan warga asing yang kini dikesan sedang bergiat aktif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas berkenaan kekecewaan keputusan kerajaan untuk melaksanakan gaji minimum pada paras RM1,500 di Pejabat PIKM, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden PIKM, Mohammad Ubaidillah Iman dan Pengurus Besar PIKM, Jeff Nor Jettey.
PIKM mewakili 940 syarikat keselamatan yang dilesenkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sementara itu, Ramli berkata, tindakan kerajaan yang masih belum melangsaikan hutang tertunggak kepada syarikat pengawal keselamatan membuktikan negara sebenarnya masih belum bersedia untuk melaksanakan gaji minimum baharu RM1,500.
Apa yang mengecewakan jelasnya, PIKM sebagai ‘stakeholder’ langsung tidak diajak berbincang sebelum melaksanakan perkara tersebut.
“Kita dah pun hantar surat kepada Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Sumber Manusia dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) namun sehingga sekarang kami tidak menerima sebarang jawapan daripada mereka.
“Kita akan adakan pertemuan antara ahli pada 18 April depan untuk kita dapat pandangan apa yang perlu dilakukan sekiranya kerajaan tetap mahu melaksanakan gaji minimum RM1,500. Kita akan lakukan sesuatu dan akan diumumkan selepas perbincangan itu dalam waktu terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, Ramli berkata, menjadi kebimbangan kepada pihaknya apabila kenaikan gaji minimum tersebut bakal mencalarkan imej golongan profesional, khususnya penjawat awam yang purata gajinya hanya sekitar RM2,500 hingga RM3,000.
“Gaji pengawal keselamatan akan meningkat dari RM5.77 kepada RM7.21 sejam dan kalau mereka bekerja selama 26 hari serta 12 jam bekerja, dah boleh peroleh pendapatan RM3,300 sebulan tak termasuk EPF dan SOCSO.
“Kalau buat perbandingan kerja penjawat awam lain sebagai contoh inspektor polis ada ijazah sarjana muda, mereka hanya dibayar sekitar RM2,500 sahaja. Bukan nak jatuhkan standard pengawal keselamatan namun perkara ini mesti setimpal dan adil kepada golongan profesional,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 menyatakan bahawa Kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara.
Beliau berkata, pelaksanaan gaji minimum itu bagaimanapun akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan kadar baharu gaji minimum itu kepada syarikat, perusahaan kecil dan koperasi yang tidak mampu membayar RM1,500 kepada pekerja mereka.
Jelasnya, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi diarah untuk berbincang bagi membolehkan syarikat dan perusahaan seumpamanya menangguhkan perkara berkenaan. - Getaran, 24 Mac 2022.