KUALA LUMPUR - Fasa Peralihan Endemik COVID-19 yang diumumkan kerajaan bermula 1 April lalu, pasti menjadi khabar gembira kepada rakyat apabila pergerakan dan aktiviti seharian boleh dijalankan lebih bebas, selepas dua tahun negara dilanda pandemik.
Ia termasuk bagi umat Islam yang melihat pengumuman itu sebagai kegembiraan dalam menyambut Ramadan dengan lebih sempurna, apabila beberapa perkara yang dikekang pada tahun sebelumnya, seperti berkumpul bersama ahli keluarga dan kunjungan ke bazar Ramadan ditarik semula.
Keterujaan itu terbukti menerusi tinjauan Getaran sempena hari pertama ibadah berkenaan di Bazar Ramadan Jalan Kuching di sini yang mendapati ia mula dikunjungi orang ramai seawal jam 3.30 petang.
Bagaimanapun, orang ramai tetap dilihat menjalani norma baharu kehidupan apabila mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang berada di kawasan itu.
Pihak berkuasa juga bertegas dengan pematuhan SOP apabila mengehadkan kemasukan orang ramai di bazar berkenaan dengan mempratikkan sistem giliran guli bagi setiap pengunjung.
Urus setia Bazaar Juadah Ramadhan Pertubuhan Pengurusan Pasar Malam Kuala Lumpur, Azmi Ali berkata, pemberian guli kepada setiap pengunjung di Bazar Ramadan Jalan Kuching itu dimulakan sejak tahun lalu sebagai cara menghadkan kemasukan orang ramai ke pusat jualan.
“Kita ada 500 guli, masing-masing 250 di dua laluan masuk bazar, jadi kalau guli ini habis, pelanggan yang datang harus beratur menunggu giliran dan mengambil guli dipulangkan pelanggan terdahulu untuk masuk ke bazar,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan sistem guli tersebut adalah alternatif pihaknya sendiri dan berkesan bagi memastikan SOP boleh dipatuhi orang ramai.
Sementara itu, pengunjung yang ditemui melahirkan kesyukuran kerana keputusan kerajaan melaksanakan fasa peralihan terbabit memberi pelbagai kesan positif kepada rakyat.
Menurut Nur Nasuha Walis Rozihan, 28, dia teruja dapat kembali mengunjungi Bazar Ramadan Jalan Kuching selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian.
"Ada beberapa juadah memang saya teringin makan atau sesuai dengan citarasa saya ketika di kampung halaman di Kedah dan hanya mudah ditemui di bazar, jadi saya memang teruja untuk berkunjung ke Bazar Ramadan ini yang menjual makanan itu.
“Kelonggaran SOP dan peralihan fasa juga dilihat membantu merancakkan semula operasi bazar Ramadan yang berbeza berbanding tahun lalu,” katanya ketika ditemui.
Seorang pengunjung, Nurrul Fajr, 32, berkata dia ke situ kerana tidak mahu melepaskan peluang membeli menu kegemaran dan merasai kemeriahan Ramadan.
“Hari ini saya dan suami seolah-olah melepaskan rindu selepas dua tahun tidak dapat berkunjung ke bazar Ramadan disebabkan COVID-19.
“Bazar Ramadhan Jalan Kuching, memang sentiasa dinanti-nantikan kerana kepelbagaian menu dan lokasi yang luas berbanding lokasi tertentu.
“Pilihan saya di sini adalah makanan yang hanya boleh didapati dengan mudah masa bulan puasa sahaja. Seawal jam 4 petang kami sudah sampai di sini,” katanya yang berasal dari Sabah.
Manakala, bagi peniaga bazar, Munarti Juafmad, 39, sambutan diterima daripada pengunjung amat luar biasa apabila sejak awal gerai dibuka, sudah ada pelanggan beratur membeli juadah.
“Saya terharu kerana seawal jam 3.30 petang orang sudah menunggu untuk membeli ayam madu yang saya jual. Memang sambutan menggalakkan kerana kami tidak menang tangan disebabkan ramai pengunjung.
“Alhamdulillah sambutan luar biasa ini disebabkan sudah dua tahun orang ramai tidak berkunjung di bazar Ramadan,” katanya yang berniaga bersama dua anak lelakinya.
Jelas beliau, peralihan fasa COVID-19 adalah antara perkara disyukuri kerana sejak dua tahun sambutan diterima perniagaannya adalah kurang baik.
“Harapan saya, dalam membeli-belah, pengunjung ke bazar ini dapat mematuhi SOP ditetapkan bagi menjaga kesejahteraan semua orang,” katanya. - Getaran, 3 April, 2022.