KUALA LUMPUR - Seramai 30 individu ditahan polis atas pelbagai kesalahan menerusi Ops Samseng, Ops Motosikal dan Pelbagai Kesalahan yang dijalankan di sekitar ibu kota sejak Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner (ACP) Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua lelaki berusia 19 hingga 51 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur.
Katanya, seramai 23 pegawai dan 152 anggota JSPT Kuala Lumpur terbabit dalam operasi berkenaan yang dilakukan di sekitar Jalan Pahang, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Raja Laut, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke).
“Seramai 18 daripada jumlah tangkapan dipercayai memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol, manakala 10 individu lagi termasuk seorang wanita berusia antara 16 hingga 24 tahun ditahan kerana memandu dengan aksi berbahaya seperti zig zag, roket, superman serta bersaing.
“Dua lelaki berusia 16 dan 24 tahun turut ditahan kerana melakukan kesalahan memalsukan nombor pendaftaran,” katanya hari ini.
Menurut Sarifudin, kesemua tangkapan tersebut dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan 805 saman atas pelbagai kesalahan.
“Sebanyak 36 motosikal dan 27 kereta telah disita atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos) serta berbuat bising sehingga mengganggu ketenteraman awam di Jalan Raja Laut.
“Kesemua kereta itu disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan,” katanya.
Dalam pada itu Sarifudin berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Alam Sekitar akan mengambil tindakan dan pemeriksaan terhadap kesemua kenderaan yang disita.
Ujar beliau lagi, polis akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. - Getaran, 10 April 2022.