KUALA LUMPUR - Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan khidmat peguam secara percuma kepada kerajaan bagi arahan memerhati (watching brief), berhubung kes perbicaraan penderaan remaja sindrom down, Bella.
Perkara itu dimaklumkan baginda menerusi Facebook, HRH Crown Prince of Johor.
Baginda bertitah, pihaknya akan menghubungi Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun untuk menawarkan perkhidmatan itu bagi pihak kementerian berkenaan berhubung kes terbabit.
“Saya sudah berhubung dan berbincang dengan peguam-peguam saya mengenai kes penderaan Bella.
“Kes ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan kerajaan sudah memulakan perbicaraan terhadap OKT (orang kena tuduh) dalam kes ini,” katanya.
Jelas Tunku Ismail, kes pendakwaan pada ketika ini melibatkan dua pihak, iaitu pendakwa raya kerajaan bagi pihak kerajaan/awam dan peguambela yang dilantik mewakili tertuduh.
Semalam, Getaran melaporkan isteri baginda, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam turut menyatakan kesediaan membantu Bella mendapatkan keadilan sewajarnya.
Che’ Puan Besar Khaleeda memaklumkan sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu remaja itu.
Terdahulu, berdasarkan keterangan saksi ketika perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31, didakwa melakukan penderaan kepada Bella setiap hari selama hampir empat bulan.
Menurut saksi, kejadian tertarik langsir sehingga besi penggantung langsir tercabut menjadi punca Siti Bainun berang dan bertindak memukul serta memarahi Bella.
Remaja berkenaan yang dikatakan ketiadaan ibu dan bapa sejak ditemui, dijadikan anak angkat di Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan di Wangsa Maju, diasaskan Siti Bainun.
Siti Bainun sebelum itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta kesan emosi. - Getaran, 17 April 2022.