KUALA LUMPUR - Debat antara mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal berlangsung pada 12 Mei ini di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM).
Acara dijangka selama dua jam bermula 9 malam itu boleh disaksikan secara langsung, sama ada melalui saluran media utama, termasuk media sosial atau hadir ke lokasi.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, format debat itu akan merangkumi tiga bahagian.
“Pertama, debat itu akan menyentuh berhubung permasalahan dihadapi syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Berhad (SEB) serta sama ada ia perlu diselamatkan atau tidak.
“Kedua, berhubung ‘Masa Depan Malaysia’ yang merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir dan hala tuju negara. Bahagian terakhir adalah sesi soal jawab,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil di sini, hari ini.
Pada masa sama, Fahmi berkata, beliau dan Isham yakin bahawa ramai pihak menanti dan teruja untuk mengikuti acara itu, memandangkan kedua-dua ikon berkenaan adalah pemimpin hebat yang sudah lama berkecimpung dalam politik negara.
Jelasnya, mereka juga percaya acara itu akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menilai dan meraikan idea, hujah serta pandangan berbeza dalam suasana aman yang mencerminkan budaya berpolitik lebih matang.
Menurut Fahmi, mutakhir, ada pandangan serong terhadap ahli politik dan Ahli Parlimen, malah perkara itu tidak boleh dielakkan.
“Justeru, program debat ini boleh buka hati rakyat untuk lihat corak politik negara yang lebih matang,” katanya.
Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR mengharapkan, agar program terbabit mampu memberi keyakinan kepada rakyat untuk hidup secara harmoni dengan mengetepikan perbezaan politik, selain melihat siapa mempunyai idea lebih bernas untuk masa depan negara melalui perdebatan.
“Boleh berbeza pandangan, namun tak tajam sehingga timbul dendam kesumat. Ada berfikiran macam mana Datuk Seri Anwar boleh setuju berdebat kerana Najib adalah Perdana Menteri ketika beliau di penjara.
“Namun, kita boleh ambil pengajaran bagaimana dua pemimpin politik itu berfikiran matang untuk hadir dalam program seperti ini.
“Sekarang ini yang membezakan, hujah idea dan ini peluang baik untuk persada politik tanah air,” katanya.
Perkara itu turut dipersetujui Isham kerana sudah tiba masanya pemimpin negara membiasakan diri berdebat di antara satu sama lain.
“Di negara maju, ahli politik mereka biasa berdebat. Bila mereka menang masuk Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, mereka perlu berhujah dan berdebat juga.
“Jadi, sebelum pilihan raya ini, kita sangat elok adakan debat. Ia bukan untuk bergaduh, tetapi bagi berkongsi hujah secara matang,” katanya. - Getaran, 17 April 2022.