KUALA LUMPUR - Satu cubaan menyeludup masuk 3,350 karton rokok seludup pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM305,348 dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam dua serbuan berasingan di Seri Kembangan dan Kajang, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, dalam serbuan pertama pada jam 10.30 pagi, dua lelaki tempatan berusia 22 serta 24 tahun termasuk seorang warga asing berumur 33 tahun berjaya ditahan di Pangsapuri Putra Impian, Seri Kembangan.
Menurut beliau, pemeriksaan pihaknya menemui sejumlah rokok tidak bercukai pelbagai jenama disembunyikan di dalam enam kenderaan yang di parkir sekitar kawasan pangsapuri terbabit.
"Kita berjaya merampas 3,030 karton rokok tidak bercukai dengan anggaran nilai sebanyak RM268,764.
"Pada masa sama, jumlah nilai cukai untuk rampasan bagi serbuan pertama berjumlah RM409,570," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, bagi serbuan kedua pula, Rizal menegaskan pihaknya berjaya menahan seorang ahli sindiket yang merupakan lelaki tempatan berusia 30 tahun di sebuah rumah di Taman Berlian, Sungai Jelok, di Kajang sekitar jam 6 petang.
"Hasil pemeriksaan, polis telah menjumpai 247 karton rokok tidak bercukai yang disembunyikan di dalam rumah terbabit serta 73 karton lagi disembunyikan di dalam kenderaan.
"Turut dirampas adalah kenderaan terbabit dan telefon bimbit pelbagai jenama. Anggaran nilai rampasan sebanyak RM36,584 manakala anggaran nilai cukai rokok pula berjumlah RM42,836.00," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, nilai cukai kesemua karton rokok yang dirampas berjumlah RM452,496 manakala nilai keseluruhan rampasan barang kes dianggarkan RM943,054 termasuk tujuh kenderaan dan lima telefon bimbit.
"Sindiket tersebut dipercayai aktif mengedar rokok seludup untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.
"Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan IPD Kajang untuk membantu siasatan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya. - Getaran, 23 April 2022.