web statsweb stats

Berita Terkini

1 hari yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Penangan Baju Raya Viral, Sanggup Redah 'Jem' Dari Johor

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Apr 2022 9:19AM

Orang ramai beratur panjang semata-mata untuk membeli baju Melayu di butik jenama Bulan Bintang di Bangi Sentral.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

BANGI - Kelonggaran lebih banyak peraturan menerusi fasa Endemik bermula 1 April lalu bakal menyaksikan Hari Raya Aidilfitri disambut meriah, berikutan pergerakan orang ramai tidak lagi disekat seperti tahun sebelumnya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berbaki kira-kira empat hari lagi untuk me­nyambut perayaan Aidilfitri, orang ramai berpusu-pusu membanjiri lokasi penjualan pakaian yang berpusat di Bangi Sentral di sini.

Tidak hanya terhad kepada komuniti setempat, penduduk ‘luar’ turut tidak ketinggalan memeriahkan suasana, malah ada yang datang dari selatan tanah air seperti Johor.

Lebih menakjubkan, mereka tidak kisah perlu beratur seawal jam 9 pagi, khususnya di premis viral seperti butik jenama Bulan dan Bintang untuk melakukan persiapan Aidilfitri saat akhir.

Muhammad Faris dan Roziana sanggup datang dari Kluang, Johor untuk membeli baju Melayu Bulan Bintang.
Muhammad Faris dan Roziana sanggup datang dari Kluang, Johor untuk membeli baju Melayu Bulan Bintang.

Seorang peniaga, Muhammad Faris Abdul Aziz, 34 berkata, dia bersama isterinya, Roziana Chazali, 37 sanggup datang dari Kluang, Johor sejak semalam semata-mata hanya untuk mendapatkan baju Melayu Bulan Bintang. 

Menurut beliau, Bangi Sentral menjadi pilihan kerana lokasi tersebut juga menempatkan banyak butik lain yang menawarkan harga berpatutan dan fabrik berkualiti.

"Saya beli baju Melayu Bulan dan Bintang ini sebab saya pun peniaga. Jadi, saya tahu bukan senang untuk bermula daripada bawah sehingga produk atau jenama kita itu dikenali orang ramai. Lebih mengagumkan, pemiliknya baru sahaja berumur 25 tahun. Sebab itu, kita beri sokongan dan sanggup beratur dari jam 9 pagi dan dapat masuk selepas hampir sejam menunggu. 

"Saya memang dah sasar dengan isteri untuk turun dari Johor semalam agar tahun ini saya dapat pakai baju Melayu Bulan dan Bintang pada Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya ketika ditemui Getaran hari ini. 

Siti Saniyah (kiri) bersama 3 anaknya yang datang dari Puchong tidak kisah untuk beratur selama sejam bagi mendapatkan kelengkapan raya di Bulan Bintang di Bangi Sentral, Bangi.
Siti Saniyah (kiri) bersama 3 anaknya yang datang dari Puchong tidak kisah untuk beratur selama sejam bagi mendapatkan kelengkapan raya di Bulan Bintang di Bangi Sentral, Bangi.

Seorang pengunjung dari Puchong, Siti Saniyah Bunawan, 45 pula berkata, dia tidak kisah untuk menunggu selama sejam agar anak-anaknya dapat beraya dan bergaya menggunakan baju Melayu Bulan Bintang yang sedang popular ketika ini. 

Jelasnya, dia telah ber­belanja kira-kira RM1,500 buat membeli lima pasang baju raya untuk keluarga, termasuk suami serta dua orang anaknya berusia 20 dan 8 tahun.

"Harganya yang murah namun kualiti kain yang premium itu menarik minat saya untuk membeli buat anak-anak saya agar mereka dapat beraya tahun ini menggunakan jenama Bulan Bintang. Bajunya juga selesa dan tidak panas untuk dipakai. 

"Memang saya dengan anak-anak tak kisah pun nak beratur sejak jam 8.50 pagi agar keluarga kami semua dapat bergaya dengan fesyen baju yang sedang hangat diperkatakan di media sosial," katanya. 

Sementara itu, suri rumah, Hana Sukimin, 49 berkata, dia terkejut dengan kehadiran ribuan pengunjung di kawasan berkenaan, yang dilihat seperti mahu ‘membalas dendam’ selepas dua tahun tidak dapat beraya di kampung akibat wabak COVID-19. 

Walaupun sibuk dengan kehadiran ramai pengunjung, Hana berkata, suasana itu sebenarnya menambah keseronokan membeli-belah, sekali gus membuktikan bahawa keadaan semasa dan iklim perniagaan ketika ini semakin baik dan beransur pulih.

“Nama pun hari raya, cuma setahun sekali saja, tambahan pula sudah dua tahun kita sambut raya dalam suasana muram sebab pandemik. 

"Sebab itu, saya seronok datang ke sini walaupun saya tahu risikonya ialah menempuh ‘jem’,  namun saya tak kisah asalkan baju raya dari butik yang dikehendaki dapat dimiliki untuk dipakai kami sekeluarga pada Hari Raya Aidilfitri,” katanya. 

rfan Haziq Imran
rfan Haziq Imran

Bagi mahasiswa, Irfan Haziq Imran, 22, pula, ini merupakan kali pertama dalam hidupnya menggunakan Baju Melayu pasang siap selepas termakan 'hasutan' daripada netizen di media sosial. 

Oleh kerana itu, katanya, beliau tidak kisah untuk datang seawal jam 10 pagi dan menunggu hampir 1 jam 30 minit demi mendapatkan baju Melayu Bulan dan Bintang. 

"Ini kali pertama dalam sejarah hidup saya beli baju raya siap dijahit.  Selalunya saya akan tempah kerana memang tak suka sikit untuk pakai baju yang dah siap dijahit. 

"Namun, bila saya lihat di iklan, terpengaruh pula sehingga saya sendiri datang beratur dan melihat sendiri di depan mata, baju Melayu Bulan Bintang memang mempunyai kualiti kain yang bagus. Apa lagi, saya tak tunggu lama, terus membelinya," katanya sambil tertawa.

Faris Mustapha
Faris Mustapha

Sementara itu, pekerja swasta, Faris Mustapha, 23 memberitahu, inilah masanya untuk dia mencuba baju Melayu tersebut kerana sudah mengidam untuk memilikinya sejak tahun lalu. 

"Saya memang dah lama dah nak beli baju Melayu Bulan dan Bintang ini namun apakan daya tahun lepas kita masih lagi dalam PKP, tak boleh rentas negeri dan hanya mampu mengidam sahaja.

"Jadi, tahun ini saya ambil peluang nak cuba sebab ramai yang kata produknya cantik, berkualiti dan harga berpatutan. Saya selalu pakai baju Melayu Jakel namun sebab viral punya pasal,saya tetap nak cuba Bulan dan Bintang. Akhirnya, saya dapat juga," katanya. 

Sementara itu, pekerja Bulan Bintang yang hanya mahu dikenali sebagai Asyraf, 22 berkata, beliau tidak sangka produk mereka menerima sambutan dan permintaan luar biasa daripada orang ramai untuk dijadikan pakaian rasmi Aidilfitri. 

"Saya sangat terkejut, tak sangka sambutan amat luar biasa. Bayangkan stok baju raya sebelum Ramadan hari itu dah habis sebenarnya dan sudah tiga kali ditambah, pada Jumaat lepas. 

"Tapi, yang baru masuk itu pun dah tak banyak. Kami amat  berterima kasih kepada orang ramai kerana memilih Bulan dan Bintang untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri," katanya. - Getaran, 28 April 2022.

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Kepincangan Syarikat GISBH Semakin Terdedah

Politik 18 jam yang lalu

Undi Cina Meningkat Di PRK Mahkota, Terima Kasih Tiong King Sing!

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Mangsa Banjir Kedah Meningkat, 1 PPS Baharu Dibuka

Semasa 20 jam yang lalu

Malaysia Gesa Pelantikan Utusan Khas PBB Untuk Tangani Islamofobia, Seru Toleransi Global