KUALA LUMPUR - Ramadan yang hanya berbaki kurang dua hari menandakan Aidilfitri semakin menghampiri, dan ia jelas mengujakan jutaan rakyat Malaysia selepas dua tahun ‘terkurung’ akibat sekatan perjalanan.
Pandemik COVID-19 yang melanda menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan sekatan merentas negeri, bagi menyekat penularan virus daripada terus berlaku.
Kerana itu, kesempatan untuk pulang ke kampung tahun ini tidak dilepaskan orang ramai, sama ada menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam.
Seorang pekerja swasta, Noornafisah Sahruddin, 27 berkata, dia serta semua ahli keluarga sangat teruja dan tidak sabar untuk pulang ke kampung di Felda Jengka, Pahang.
Menurut beliau, ini merupakan Aidilfitri pertama disambut bersama suaminya, Abdullah Khaidzir yang sebelum ini tidak dapat diraikan kerana pandemik.
“Selepas dua tahun tidak dapat beraya bersama keluarga, tahun ini saya dan adik-beradik memang berpakat untuk lepas geram balik ke kampung.
“Apa yang saya rindu terutamanya pasal kampung ini adalah suasana itu sendiri, selain tradisi keluarga membakar lemang beramai-ramai,” katanya kepada Getaran.
Mahasiswa, Aidar Sidi, 23 pula berkata, setelah dua kali terpaksa melupakan hasrat beraya bersama keluarga akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Aidilfitri kali ini adalah paling istimewa buatnya.
Jelasnya, dia bersama semua ahli keluarga tidak sabar untuk pulang ke kampung di Sekinchan, Selangor.
“Saya paling rindu untuk bersama keluarga dan saudara di kampung. Biasanya ketika raya, sudah menjadi tradisi keluarga kami dan bermain bunga api bersama.
“Adik beradik ayah saya ada tujuh orang, jadi memang meriah, khususnya ketika sesi bergambar. Pada masa sama, kami juga akan berarak ke seluruh kampung untuk berziarah,” katanya.
Sebelum pulang ke kampung halaman bersama keluarga, Aidar berkata, dia telah membeli tiket bas dua minggu lebih awal untuk pulang ke Pedas, Negeri Sembilan sebelum bertolak ke Sekinchan bersama keluarga.
"Rasa seronok bila balik kali ini. Rasa tak sabar nak rasa kemeriahan suasana balik kampung kerana rakyat Malaysia sudah tidak lagi disekat.
"Apa yang saya bangga, walaupun masing-masing ghairah untuk pulang berhari raya, orang ramai tetap mengamalkan penjarakan fizikal ketika membeli tiket bas di kaunter dan mesin tiket layan diri," katanya.
Sementara itu, kakitangan kerajaan, Mohd Faizzuldin Abdul Rashid, 38 berkata, tahun ini dia mengambil keputusan untuk pulang ke Kuantan, Pahang pada hari pertama Syawal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
"Saya serta isteri dan anak-anak kami ambil keputusan untuk sambut raya di bandar terlebih dahulu dan bila petang raya pertama, baru pulang ke kampung.
"Saya memang seronok keadaan sudah kembali kepada asal. Orang dah mula bersesak untuk balik raya namun demi keselamatan keluarga, saya ambil keputusan balik lewat sedikit,” katanya.
Bagi Azhad Sabiq, 19, pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP), ini merupakan kali pertama dia menaiki bas untuk pulang ke Bagan Datuk, Perak sempena sambutan hari raya.
"Saya menggunakan bas sebab keluarga tidak boleh datang ambil selain tidak mahu menyusahkan mereka sebab jalan sekarang ini tengah sesak dan ada juga kawan-kawan yang boleh balik sekali, dapatlah pengalaman baru.
"Saya dah siap beli tiket sebulan lalu sebab saya lagi rela naik bas selama enam jam daripada terkandas dalam kesesakan jalan raya,” katanya. - Getaran, 1 Mei 2022