KAJANG - Jualan biskut raya kembali meningkat Aidilfitri tahun ini ekoran kelonggaran banyak peraturan menerusi fasa endemik, sekali gus memberi kelegaan kepada pengusaha dan peniaga.
Tinjauan Getaran di sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang mendapati, jumlah biskut dijual semakin surut, khususnya jika jenis itu digemari pelanggan.
Seorang pengusaha, Ridhauddin Ghazali, 50-an berkata, tempahan biskut raya meningkat mendadak berbanding tahun lalu ketika negara masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.
Katanya, tempahan biskut yang diterima ketika PKP hanya 3,000 bekas, namun tahun ini jumlah itu meningkat dua kali ganda kepada hampir 7,000.
"Cabaran kita hadapi sekarang ini, kuih-kuih raya yang kita ambil dari Kuala Selangor dah tak boleh nak tambah stok sebab bekalan tiada. Yang ada cuma kategori tradisional macam bahulu dan kuih ros kerana dibuat sendiri.
"Antara biskut raya yang mendapat tempahan ramai termasuk biskut popular dan klasik iaitu, tat nanas dan samperit dahlia, selain biskut raya viral seperti onde onde dan butter scotch melting," katanya kepada Getaran ketika ditemui di kedainya di Teras Jernang, Kajang.
Ridhauddin yang merupakan pemilik kedai Aidah Kerepek Bahulu Panas memaklumkan, pihaknya terpaksa menambah empat pekerja bagi membantu melancarkan pembuatan bahulu dan kuih ros di kedainya.
"Bahulu dan kuih ros ini pula mendapat permintaan untuk dibawa pulang ke kampung. Alhamdulillah saya bersyukur permintaan daripada orang ramai amat menggalakkan. Ini mungkin disebabkan kita telah masuk ke fasa endemik,” katanya.
Pengusaha Nonies Food Biskut, Luqman Al Hakim Harun, 25 pula berkata, dia bukan sahaja menerima tempahan biskut raya daripada pelanggan tetap, malah turut didatangi pengunjung baharu, termasuk dari daerah lain.
Apa lebih membanggakan, beliau yang berniaga di kiosk Pasar Raya CS sejak enam tahun lalu turut menerima tempahan sebanyak 46 balang daripada seorang pramugara Air Asia untuk dibawa ke Australia sebagai juadah di pagi Aidilfitri nanti.
"Kami tidak menyangka sambutan amat meriah dan menggalakkan. Sejak dua minggu sebelum puasa kami dah pun buat 'tester' bagi orang cuba. Alhamdulillah, seminggu sebelum puasa dah habis stok kuih raya saya.
"Masalah kita hadapi adalah stok dari Muar yang mengambil masa hampir seminggu untuk tiba. Ini kali ketiga saya menambah stok selepas berbuat demikian Ahad lalu. Boleh lihat, dah tinggal tak banyak pun lagi," katanya.
Bagaimanapun menurut Luqman, kelewatan itu tidak menjadi masalah kepada pelanggan kerana mereka sanggup menunggu demi mendapatkan Nonies Food Biskut untuk dinikmati.
"Saya menjual lebih 18 jenis biskut termasuk kerepek dan jeruk yang bermula dengan harga RM20 hingga RM30.
"Alhamdulillah, endemik banyak mengubah rezeki saya tahun ini dan berhasil mendapat lebih keuntungan," katanya.
Sementara Haslina Masjid, 49 berkata, biskut viral seperti seperti tat nanas dan lidah kucing amat diminati setiap pelanggan yang datang ke kedainya di Kip Mall, Bandar Baru Bangi.
Lebih menggembirakan katanya, dia sudah mampu menampung kos sewa tapak dan teruja apabila situasi di bazar itu kembali 'hidup' dan meriah berbanding tahun sebelum.
"Tahun lepas pun kita dah dapat sambutan yang menggalakkan tapi tahun ini luar biasa kerana saya dapat keuntungan dua kali ganda disebabkan orang ramai sudah boleh pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.
"Punya banyak tempahan sehingga saya kena tambah pekerja sehingga dua orang. Kalau Sabtu Ahad memang tak menang tangan kerana orang berpusu-pusu datang untuk membeli kuih raya," katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Siti Mariah Alias, 53 berkata, beliau mengambil kesempatan membeli biskut raya kali ini selepas tidak berpeluang berbuat demikian tahun lalu.
"Tahun lalu, wabak COVID-19 baru menular dengan masyarakat masih berhati-hati sehingga tidak banyak persiapan dibuat termasuk membeli biskut raya.
"Namun tahun ini atas permintaan anak-anak dan suami yang mahu merasa biskut raya kesukaan mereka, saya ambil keputusan untuk membeli berikutan harganya yang berpatutan berbanding dibuat sendiri," katanya. - Getaran, 2 Mei 2022