KUALA LUMPUR - Pembaziran makanan bagaikan satu penyakit bermusim yang belum ada penawar, dan ia semakin galak berlaku di musim perayaan.
Ramadan dan Syawal saling silih berganti dan perkara yang sama terus berulang.
Amat sedih apabila melihatkan sejumlah besar makanan akhirnya hanya menjadi penghuni tong sampah, sedangkan di bahagian lain dunia, ada penduduk yang terpaksa mengemis walau hanya untuk secebis roti.
Laporan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menunjukkan, 40,000 tan metrik makanan telah terbuang dan dikumpulkan sepanjang Ramadan tahun ini di ibu negara, berbanding 32,000 tan metrik pada tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Jualan Mentari Alam Eko (M) Sdn Bhd (MAEKO), Mae Ooi SL berkata, hampir 45 peratus daripada sisa domestik itu ialah bahan organik, jika mengikut nisbah sisa organik tahun lalu.
“Kita boleh rumuskan pada tahun ini sisa makanan yang dihasilkan ketika Ramadan sahaja adalah sekitar 18,000 metrik tan, itu pun hanya di ibu negara, belum kira lagi satu negara! Bayangkan satu negara, berapa besar jumlah yang ada bayangkan satu negara,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Menurut beliau, ramai yang hanya membeli mengikut nafsu dan membuang juadah itu apabila tidak menepati selera masing-masing.
Katanya, sekian banyak kempen kesedaran yang dibuat masih tidak berupaya membendung pembaziran daripada berlaku dan ia amat menyedihkan.
“Penjual makanan lebih memikirkan bahawa tahun ini mereka boleh menghasilkan untung besar kerana kebenaran untuk berhimpun dan makan bersama.
“Ada juga ‘sikap tidak suka kalah’ apabila membuat jamuan dengan penyediaan buffet melebihi apa yang boleh dinikmati pelanggan,” ujarnya.
Mae Ooi berkata, lebih merisaukan apabila kebenaran diberikan kerajaan melibatkan sambutan Hari Raya Aidilftri, kerana ia pastinya mendorong rakyat Malaysia berlebihan dalam berbelanja.
“Kami faham, sudah dua tahun Aidilfitri dirayakan dengan begitu suram kerana sekatan perjalanan bagi mengekang penularan virus COVID-19.
“Pengumuman Kementerian Kesihatan (KKM) yang membenarkan aktiviti berziarah dan majlis rumah terbuka dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) merupakan antara aktiviti dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Ini semua jika tidak dikawal boleh menyebabkan pembaziran makanan,” katanya.
Mengulas lanjut Mae Ooi berkata, pembaziran makanan sekiranya tidak dikurangkan maka banyak sisa makanan akan dihantar ke tapak pelupusan, sebelum mereput dan menghasilkan Gas Rumah Kaca yang menyumbang kepada pemanasan global.
Katanya, cuaca yang terlalu panas atau hujan berterusan sehingga menyebabkan banjir merupakan antara kesan sampingan jika pengurusan sampah gagal ditangani dengan baik, apatah lagi jika jumlahnya meningkat berkali ganda.
Orang ramai jelas Mae Ooi, perlu berganding bahu dalam mengurangkan pembaziran makanan dengan membuat perancangan rapi.
“Bermula dengan pembelian ramuan masakan hingga ke saiz hidangan makanan dan pelbagai jenis juadah, jangan bersikap lapar di mata kenyang di perut, hingga akhirnya membebankan alam persekitaran dengan sisa makanan yang tidak terurus.
“Kepada yang suka menempah makanan untuk tetamu dan jika ada lebihan sedekahkan kepada golongan memerlukan seperti asnaf, anak yatim dan gelandangan.
“Bersedekah antara cara terbaik untuk mengelakkan pembaziran,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan penghasilan baja kompos menggunakan sisa dapur, untuk mengelakkan lebihan makanan dibuang ke tapak pelupusan.
“Sama-sama kita merayakan Hari Raya Aidil Fitri dengan sentiasa bersikap kelestarian demi generasi masa depan,” katanya. - Getaran, 5 Mei 2022