KUALA LUMPUR - Perjalanan orang ramai pulang ke kampung halaman bagi meraikan Aidilfitri pada tahun ini, dilatari pelbagai kisah ‘suka duka’ termasuk kesesakan di luar logik akal, susulan dua tahun tidak dapat melepasi sempadan negeri untuk menyambut hari istimewa itu akibat COVID-19.
Bayangkan ada pengguna mengadu menempuh kesesakan berkali ganda lama sehingga terpaksa berdepan perjalanan lebih sembilan jam dari Nilai, Negeri Sembilan ke Ipoh, Perak yang sepatutnya mengambil masa kurang tiga jam setengah.
Terkini, ‘kecoh’ di media sosial situasi stesen minyak di sepanjang lebuh raya dari arah pantai timur, utara dan selatan dilaporkan kekurangan atau kehabisan petrol akibat permintaan tinggi daripada pengguna kenderaan untuk mengisi bahan api berkenaan.
Perkara pertama kali berlaku dalam sejarah negara itu, didakwa susulan pertambahan berganda kenderaan yang pulang meraikan Aidilfitri bersama keluarga.
Menerusi pengalaman beberapa pengguna lebuh raya berdepan situasi itu di Twitter, mereka memaklumkan ada stesen mengenakan had kuantiti bagi pembelian petrol jenis RON95, manakala di sesetengah premis terbabit, hanya mempunyai stok RON97.
“Minyak habis di stesen pertama. Di stesen kedua, pekerja hanya benarkan isi maksimum RM30. Banyak stesen kehabisan minyak,” ciap @macmannnn_.
“First time (pertama kali) pergi petrol station (stesen minyak) RON95 habis,” kata @nmhatt_.
“Most of petrol pump at my area in Kedah and some part of Perlis run@out of Ron95 (kebanyakan stesen minyak di kawasan saya di Kedah dan sesetengah tempat di Perlis kehabisan RON95. Ada minyak mahal ja,” menurut inewsmy.
“Tak lawak weyh minyak kat petrol pump habis, fridge (peti sejuk) diorang kosong dan tandas semua tempat beratur panjang! Penangan dua tahun tak raya,” tulis @larviosar.
“Petrol banyak habis ni macam mana nak isi minyak. Ada jugak yang isi Diesel kejap lagi ni,” komen @SyazwaneeAchik.
Mengulas isu terbabit, Presiden Persatuan Pengedar Petroleum Shell Malaysia (SPDAM), Datuk Wahid Bidin berkata, situasi itu tercetus dek permintaan terlalu tinggi bagi petrol, khususnya RON95 yang melebihi jumlah biasa disediakan semasa musim perayaan, sebelum COVID-19 melanda dunia.
Katanya, ditambah kesesakan teruk di lebuh raya, menyebabkan waktu ketibaan lori tangki membawa petrol ke stesen minyak tidak dapat mengikut masa ditetapkan.
Menurutnya, sambutan Aidilfitri yang disambut sehari lebih awal daripada jangkaan masyarakat, menjadikan keadaan ‘panik’ apabila pengguna terus berpusu-pusu pulang pada malam hari pengumuman, sekali gus menyaksikan kesesakan teruk dan permintaan terhadap petrol meningkat berganda.
Justeru, Wahid berkata, orang ramai digalakkan membuat persediaan awal dengan mengisi petrol di kampung halaman sebelum memasuki lebuh raya untuk pulang ke kediaman masing-masing.
“Pihak kami cadangkan, orang ramai supaya mengisi penuh petrol kereta mereka di kampung, supaya tiada atau kurang keperluan untuk singgah mengisi bahan api ini di lebuh raya.
“Ia juga mengurangkan risiko mereka terperangkap dalam kesesakan kenderaan luar biasa untuk masuk dan keluar stesen minyak, sehingga semakin melambatkan mereka tiba ke destinasi.
“Ada berada di atas lebuh raya lebih 10 jam untuk sampai ke destinasi,” katanya ketila dihubungi Getaran.
Jelasnya, orang ramai yang dalam perjalanan pulang ke kampung atau dari kampung, disarankan menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps supaya dapat menentukan laluan sesuai dan merancang perjalanan sebaiknya.
“Semoga orang ramai dipermudahkan urusan dan selamat sampai ke destinasi ingin dituju,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz dilaporkan berkata, operator stesen minyak kebiasaannya mencatatkan pertambahan petrol kira-kira 20 hingga 30 peratus ketika hari raya.
Keadaan itu membuatkan pihak berkenaan sememangnya tidak menjangkakan permintaan tinggi pengguna pada musim Aidilfitri kali ini.
Jelasnya, situasi itu menyaksikan lonjakan sehingga kira-kira 40 peratus ke 50 peratus bahan api yang memaksa pihak terbabit cuba menangani keadaan sukar berkenaan sebaik mungkin.
“Hari raya kali ini mencatatkan jualan paling tinggi berbanding mana-mana hari raya, jadi sudah tentu berlaku ‘huru hara’ dan dari segi perancangan, pastinya syarikat minyak tidak menjangkakan peningkatan seperti ini.
“Ramai menjangkakan peningkatan tidak terlalu tinggi berbanding hari raya sebelum ini, tetapi ia sangat berbeza.
“Namun, sekali lagi saya perlu menekankan bahawa stok bahan api (petrol) di Malaysia mencukupi, keadaan ini (kekurangan dan kehabisan) bekalan disebabkan masalah penghantaran ke stesen,” katanya. - Getaran, 7 Mei 2022.