KUALA LUMPUR - Sebanyak 12,985 kemalangan dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh lapan hari pelaksanaan Op Selamat 18 yang bermula 29 April lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, jumlah itu membabitkan 135 kemalangan maut dan 141 kematian.
"Menurut rekod kami, penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kematian tertinggi, iaitu 88 kes daripada 141 kematian di seluruh negara pada.
“Manakala, kes kematian membabitkan kereta dalam Op Selamat 18 adalah 38, iaitu tertinggi daripada 34 kes kematian pada Op Selamat 15,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, statistik kemalangan maut Op Selamat 18 meningkat berbanding Op Selamat 15 pada 2019.
Katanya, Op Selamat 15 mencatatkan 12,500 kemalangan membabitkan 128 kemalangan maut dengan 136 kematian.
Jelas Razarudin, pada hari kelapan Op Selamat 18 juga, sejumlah 1,496 kemalangan dicatatkan, dengan Selangor paling tinggi, iaitu membabitkan 292 kemalangan, diikuti Johor (200) dan Perak (163), manakala Perlis merekodkanq kemalangan terendah, iaitu sembilan.
“Daripada 1,496 kemalangan itu, 12 nyawa terkorban membabitkan empat kematian di Johor, tiga (Kedah) serta masing-masing satu kematian di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Kelantan dan Sabah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 257,808 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pengguna jalan raya sepanjang lapan hari Op Selamat 18.
Tambahnya, jumlah saman terabit menyaksikan peningkatan 52 peratus, iaitu sebanyak 69,553 saman, berbanding tempoh sama pada Op Selamat 15 yang mencatatkan 170,167 saman.
“Antara kesalahan utama menyumbang kepada jumlah saman tersebut dikeluarkan adalah melebihi had laju, iaitu membabitkan sebanyak 185,761 saman.
"Lima kesalahan utama lain adalah melanggar lampu isyarat (3,122 saman), memotong barisan (2,431 saman), menggunakan alat komunikasi (1,533 saman), memotong di garisan berkembar (965 saman) dan memandu di lorong kecemasan (633 saman)," ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, kemalangan jalan raya mengikut jenis jalan sehingga hari kelapan Op Selamat 18 pula, menyaksikan lebuh raya merekodkan 1,373 kes, jalan persekutuan (2,816 kes), jalan negeri (2,591 kes), jalan bandaran (5,061 kes) dan jalan lain-lain sebanyak 1,144 kes.
Op Selamat 18 pada sambutan Aidilfitri kali ini dilancarkan selama 10 hari bermula 29 April hingga 8 Mei ini. - Getaran, 7 Mei 2022.