KUALA LUMPUR - Akses pengundian pilihan raya di negara ini dianggap masih tidak mesra orang kurang upaya (OKU) sepenuhnya, sehingga golongan itu berdepan pelbagai masalah, termasuk kekurangan rujukan mengenai proses mengundi dan maklumat pilihan raya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga dikatakan seharusnya menyemak semula serta mempertingkatkan kemudahan kepada pengundi OKU bagi memastikan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab memilih itu dalam keadaan sempurna, khususnya untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan bukan ‘menganaktirikan’ golongan terbabit.
Meluah rasa, Mohd Rizal Mat Noor yang berdepan ketidakupayaan fizikal berkata, setiap warganegara Malaysia diberi hak untuk mengundi, termasuk OKU, namun bagi melaksanakannya, golongan itu menghadapi pelbagai cabaran.
“Perspektif masalah OKU sebenarnya besar skop dia, terdapat banyak golongan ini seperti berdepan kekurangan fizikal, pendengaran, penglihatan dan mental.
“Jadi, sebagai OKU Fizikal seperti saya dan individu mengalami masalah sama ini, antara cabaran utama kami adalah kemudahan di lokasi serta akses di pusat mengundi yang terhad,” katanya ketika menjadi antara empat pembentang bagi sesi bertajuk Isu dan Cabaran Pengundian pada Forum Akses Pengundian OKU di Malaysia di sini, baru-baru ini.
Program dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (BERSIH) itu bertujuan menyediakan platform kepada pihak berkaitan, termasuk individu dalam kalangan OKU untuk berkongsi pandangan dan cadangan berhubung pelbagai isu yang membabitkan akses pengundian bagi golongan terbabit di Malaysia.
Tiga sesi disediakan pada program itu dengan tajuk berbeza, iaitu sesi 1 menyentuh isu ‘Reformasi Pilihan Raya yang Inklusif’ dan sesi 2 berkaitan ‘Isu dan Cabaran Pengundian’, manakala ‘Perbincangan kumpulan Pelan Tindakan Pilihan Raya Inklusif’ ditetapkan sebagai agenda untuk sesi 3.
Mohd Rizal berkata, pemilihan sekolah dan balai raya sebagai pusat pengundian tetapi tidak mempunyai kemudahan untuk OKU, membataskan pergerakan mereka yang berkerusi roda serta bertongkat menuju ke saluran mengundi.
“Petugas SPR dan sukarelawan yang bertugas pada hari mengundi juga hendaklah diberi latihan komprehensif mengenai bagaimana membantu serta menyediakan kemudahan untuk golongan OKU ini,” katanya.
Bagi Mohd Shafiq Badarulhisham yang dikategorikan OKU Autisme, ada antara golongan itu sukar mendapat layanan sebaiknya daripada pegawai bertugas di pusat mengundi.
Kongsinya, cabaran utama dihadapi golongan OKU Autisme ketika hadir untuk melaksanakan proses pengundian adalah selalu dipinggirkan kerana sikap segelintir petugas yang tidak mahu melayan pertanyaan atau permintaan, disebabkan kekurangan diri mereka sukar dilihat daripada fizikal.
Ada pula pihak, katanya, menyifatkan OKU Autisme bukan individu kurang berkeupayaan kerana kelihatan normal secara luaran.
“Ia memaksa golongan seperti saya menunjukkan kad OKU sebagai bukti walaupun untuk proses pengundian yang sememangnya hak kami,” katanya dalam nada kecewa.
Menurut OKU Pendengaran, Annie Ong, kekurangan bantuan kepada golongan sepertinya untuk menerima penjelasan sebenar berhubung janji ‘dilaungkan’ calon, menghalang mereka memahami apa akan ditawar dan membuat pilihan mengikut apa diinginkan.
“Setiap kali ketika kempen pilihan raya, pelbagai manifesto dikemukakan semua calon bertanding, namun hanya dengan melihat manifesto tersebut, golongan kami kurang memahami kerana tidak boleh mendengar dan ia cabaran besar untuk memilih pemimpin sesuai.
“Malah, dengan kekurangan maklumat mengenai calon bertanding dan informasi terhad mengenai manifesto diperjuangkan, akhirnya kami memilih hanya mengikut keputusan keluarga, seterusnya mengundi parti dipilih mereka,” ujarnya melalui isyarat tangan sebelum diterjemahkan jurubahasa.
Justeru, Annie Ong mencadangkan kepada calon bertanding dan SPR untuk menyediakan jurubahasa isyarat yang boleh menyampaikan segala maklumat ingin diketahui mereka, sepanjang tempoh pilihan raya.
“Sebenarnya lagi bagus kalau kempen, debat dan penyampaian manifesto calon bertanding dilakukan melalui platform media sosial jika mereka menyertakan sekali dengan terjemahan jurubahasa isyarat.
“Keperluan itu adalah kerana tidak semua OKU pendengaran mempunyai tahap pendidikan tinggi yang boleh memberi kemampuan kepada mereka untuk memahami hanya dengan melihat, ada segelintir juga buta huruf,” jelasnya.
Berkongsi situasi dialami, OKU penglihatan, Nadir Abdul Nasir berkata, bagi menyelesaikan masalah dihadapi mereka, penglibatan pemantau dalam kalangan golongan itu untuk melancarkan proses pengundian harus diambil kira.
Katanya, biarpun mengalami masalah penglihatan, ada OKU berpendidikan tinggi dan mampu menyelesaikan masalah teknologi dihadapi SPR.
Tegasnya, jika SPR sedia berkolaborasi dengan pihak mereka, ada teknologi sesuai mampu dibangunan untuk pengundi OKU penglihatan ini menunaikan proses mengundi secara bersendirian tanpa memerlukan orang dipercayai, seperti ahli keluarga bagi membantu mereka.
“Antara cabaran selalu dialami OKU penglihatan adalah undi rosak yang menghalang golongan ini untuk mengundi semula. Manakala ada memilih calon bukan pilihan sendiri hanya kerana menuruti apa dipilih orang kepercayaan yang menemani mereka, terutama ahli keluarga,” katanya.
Nadir berkata, isu terbabit juga boleh diselesaikan jika SPR mampu mencipta kertas undi yang memiliki sistem tulisan sentuh atau Braille khusus bagi kegunaan OKU Penglihatan.
“Pengenalan sistem tulisan sentuh digunakan OKU Penglihatan di kertas mengundi ini, mampu memperbanyakkan lagi undi golongan berkenaan, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk membuat pilihan calon sendiri. - Getaran, 6 Jun 2022