SERDANG - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak berhasrat meminda Akta Perikanan 1985 bagi mengekang pencerobohan nelayan asing di perairan negara, khususnya dari Vietnam.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, tiada keperluan pihaknya meminda Rang Undang-Undang (RUU) tersebut kerana akta sedia ada sudah mencukupi bagi melindungi perairan negara.
“Akta Perikanan (sedia ada) cukup untuk menangani isu terbabit kerana masalahnya adalah penguatkuasaan.
“Jadi pelbagai agensi dipertanggungjawabkan untuk membuat pemeriksaan, termasuk Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan agensi lain untuk melaksanakan tugas penguatkuasaan melindungi perairan negara kita daripada diceroboh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pra Pelancaran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2022) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.
Bagaimanapun Ronald menegaskan, aspek penguatkuasaan perlu ditingkatkan dalam menangani isu tersebut.
Menurut beliau, secara asasnya nelayan asing tidak boleh memasuki kawasan perairan negara untuk membuat tangkapan hasil laut.
“Sepatutnya nelayan asing tidak boleh masuk kawasan perairan perikanan Malaysia. Kita cuma memberi lesen pelbagai kelas dalam industri perikanan ini kepada orang tempatan.
“Jadi kalau ada orang asing menceroboh di laut atau perairan perikanan kita, tentu sekali kita perlu tindakan (oleh) agensi penguatkuasaan untuk menghalang mereka,” katanya.
Terdahulu, Getaran melaporkan Jabatan Perikanan sudah mengadakan sesi rundingan awam dan perjumpaan bersama sebahagian pihak berkepentingan, bagi mendapatkan pendapat serta maklum balas berkaitan cadangan pindaan Akta Perikanan 1985.
Bercakap kepada Getaran, sumber terdekat agensi kerajaan itu menegaskan, proses pindaan terbabit bermula sejak tahun 2019, namun tertangguh dan mengalami kesulitan disebabkan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan kerajaan akibat pandemik COVID-19.
Pegawai Jabatan Perikanan yang enggan dikenali itu berkata, pemahaman dan sokongan daripada pemegang taruh, khususnya nelayan sangat diperlukan bagi memastikan undang-undang baharu terbabit, diluluskan demi mengekang bekalan ikan tidak ‘ghaib’ dari perairan negara.
Dalam pada itu, sumber berkata, sekiranya sudah bersedia, Jabatan Perikanan akan mencadangkan kepada kerajaan dan Ahli Parlimen untuk meminda Akta Perikanan 1985, khususnya membabitkan nelayan asing yang kini dianggap langsung tidak menggerunkan penceroboh.
Jelasnya, proses pindaan itu dicadangkan kerana tidak pernah digubal secara sepenuhnya dalam memastikan hukuman berat dikenakan kepada nelayan asing yang melakukan penangkapan haram.
Tegasnya, ia juga tidak digubal bagi mengawal nelayan tempatan menggunakan peralatan perikanan yang mampu mengancam ekosistem marin. - Getaran, 9 Jun 2022.