KUALA LUMPUR - Tindakan kerajaan memansuhkan kawalan harga siling ayam dan telur, selain minyak masak sawit tulen bagi kemasan botol dua, tiga dan lima kilogram (kg) bukan sahaja merisaukan pengguna, khususnya dalam kalangan B40, malah mencetuskan perdebatan hangat dan mengundang kemarahan pelayar media sosial.
Mereka juga memberikan komen negatif terhadap pengumuman Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengenai tambahan tunai Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada B40 yang menyaksikan pemberian RM100 bagi isi rumah dan RM50 untuk individu bujang.
Aku tak nak bantuan RM200, RM300, RM500, RM2000, bantuan berapa pun tak nak.
— Rasid Abu Bakar (@RasidAbuBakar) June 22, 2022
Aku nak
1) Kerja dengan Gaji bermaruah.
2) Kos sara hidup berpatutan.
3) Sistem pendidikan berkualiti.
4) Sistem Kesihatan berkualiti.
5) Harga rumah berpatutan.
Ye, dengan turutan itu.
Tinjaun Getaran di medium komunikasi itu, termasuk Twitter mendapati rata-rata pengguna platform tersebut berkongsi pandangan, termasuk rasa tidak puas hati mengenai isu terbabit.
Menurut pengguna akaun @faizalhassan, rakyat memerlukan kawalan harga barangan daripada kerajaan, bukannya solusi sementara seperti bantuan kewangan tertentu.
“Kami ingin kerajaan memberi subsidi dan mengawal harga pasaran, bukannya RM50 yang hanya boleh membeli beberapa barangan keperluan bagi seorang.
“Kami memerlukan penyelesaian jangka masa panjang dan kami tidak memerlukan solusi jangka pendek, dengan bagi duit bukan penyelesaian di sini dan ia tidak menguntungkan rakyat Malaysia,” ciapnya.
Ringkasan:
— MohdFaizalHassan ?? (@f4izalhassan) June 22, 2022
1) Mulai 1 Julai, kerajaan tidak lagi menyambung subsidi untuk minyak masak berbotol
2) Subsidi minyak masak kampit sahaja yang akan diteruskan
3) RM100 bantuan tunai tambahan kepada B40 golongan isi rumah & RM50 untuk bujang
4) Bayaran berperingkat mulai 27 Jun pic.twitter.com/Jc6RQCb4MA
Pengguna akaun @ChopperhazardD berkata, keputusan kerajaan mengenai isu pemansuhan subsidi produk itu semakin membebankan rakyat, terutama B40.
“Harga siling ayam dan telur juga dimansuhkan bermula 1 Julai ini, setiap kali berlaku masalah, rakyat yang tanggung.
“Tetapi sehingga kini, pelbagai ketirisan dan penyelewengan dana kerajaan masih tiada yang bertanggungjawab dan kerajaan berasa dengan hanya memberi wang, beban rakyat akan berkurangan,” ujarnya.
Manakala, menurut pengguna akaun @frankrxII, penarikan subsidi itu akan memberi peluang untuk peniaga dan pengeluar minyak mengambil kesempatan menaikkan harga secara mendadak.
“Susulan pengumuman kerajaan ini, saya pasti lepas ini ramai akan beratur membeli minyak masak botol sebelum 1 Julai di supermarket (pasar raya).
“Tetapi, isu kehabisan minyak akan diumum dan secara tiba-tiba lepas 1 Julai, stok minyak akan mencukupi di pasaran, ini helah peniaga untuk mengelak pembelian bernas oleh orang ramai,” katanya.
Selain itu, pengguna akaun @HannZiq berkata, pemansuhan subsidi minyak masak untuk botol dua, tiga dan lima kg sebenarnya memberi kesan kepada keluarga dalam kalangan B40 dan M40 di kawasan bandar.
“Mana nak cari minyak masak paket satu kg di pasar raya. Susah dan majoriti akan habis sebab dibeli penjaja juga hmmm,” tulisnya.
“Adakah dengan penghapusan harga siling minyak masak, telur dan ayam jelas menunjukkan pihak kerajaan Malaysia semakin hilang kawalan terhadap syarikat korporat berasaskan keperluan asas di Malaysia?,” soal pengguna akaun @wak_piee.
“Sakit ya hati baca berita. Subsidi minyak dihapuskan, harga ayam naik dan kawalan harga siling ayam dan telur tidak diteruskan. Kalau lah keputusan ini dibuat disebabkan menteri tak buat kerja, memang aku tak halalkan duit cukai yang aku bayar yang masuk ke dalam poket menteri,” komen seorang pengguna.
Bagaimanapun, menerusi tinjauan dijalankan itu, rata-rata pengguna bimbang dan masih keliru mengenai pengumuman kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak sawit tulen botol dua, tiga serta lima kg mulai Julai ini kerana disifatkan tidak wajar dan membebankan rakyat. – Getaran, 22 Jun 2022.