KUALA LUMPUR - Polis berjaya melumpuhkan satu aktiviti tidak bermoral ketika umat Islam sedang menyambut Hari Raya Aidiladha semalam, melibatkan sebuah premis di Jalan Tun H S Lee di sini.
Premis berkenaan didapati menawarkan khidmat pelacuran termasuk kepada pelanggan beragama Islam pada harga serendah RM50 setiap sesi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (ACP) Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan pada jam 6.30 petang itu turut membawa kepada penahanan 11 pelanggan, majoritinya warga asing dan enam penjaga premis.
“Turut ditahan ialah lapan wanita warga asing berusia 21 hingga 51 tahun, dipercayai pelacur yang menawarkan bayaran serendah RM50 setiap sesi.
“Hasil serbuan itu, polis merampas wang tunai RM900, 564 kondom, 108 tisu, lapan botol minyak dan 10 buku catatan aktiviti pelacuran,” katanya hari ini.
Menurut beliau, kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 373 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Mereka direman selama empat hari sehingga 14 Julai bagi membantu siasatan.
“Orang ramai boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau talian Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau datang ke mana-mana balai polis berhampiran jika mempunyai maklumat berhubung kegiatan seumpama ini,” ujarnya. - Getaran, 11 Julai 2022