KUALA LUMPUR - Pembelian petrol dan diesel oleh syarikat berskala kecil, organisasi atau individu untuk kegunaan sendiri selepas ini perlu mendapat permit khas mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bagi mengelakkan barang kawalan dan bersubsidi seperti petrol serta diesel diseleweng oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Bagaimanapun menurut beliau, tiada bayaran akan dikenakan bagi permohonan permit khas berkenaan.
“Pihak yang diberi kebenaran untuk membeli minyak petrol dan diesel melalui Permit Khas boleh menggunakan tong dram, plastik atau apa-apa bekas bersesuaian mengikut kuantiti harian yang diluluskan,” katanya hari ini.
Jelas Alexander, permit khas itu adalah bagi pembelian dengan kuantiti melebihi 20 liter ke atas sahaja.
Katanya, pihak yang membeli kurang daripada jumlah berkenaan, termasuk kes-kes kecemasan adalah dibenarkan dan tidak memerlukan permit tersebut.
“Antara pihak yang menerima permit khas itu adalah pengguna 'forklift', sektor pertanian dan penternakan, pengusaha industri makanan, penduduk di kawasan pedalaman, pengguna pengangkutan air untuk enjin bot serta nelayan separuh masa iaitu bukan pemegang kad e-nelayan.
“Setiap stesen minyak mesti mempunyai lesen mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi membolehkan ia berurusniaga dengan minyak petrol dan diesel,” katanya.
Mengulas lanjut Alexander berkata, mana-mana stesen minyak dengan lesen itu tidak dibenarkan menjual bahan api diesel dan semua gred petrol, kecuali jika menggunakan tangki asal kenderaan berkenaan atau yang diluluskan oleh agensi berkaitan.
“Ia juga hanya boleh dijual kepada pihak yang mendapat kebenaran KPDNHEP mengikut peruntukan undang-undang AKB 1961,” ujarnya.
Tambah beliau, pihak yang mahu memohon permit khas boleh berbuat demikian melalui sistem Mysubsidi Permit Khas secara dalam talian di portal http://permitkhas.kpdnhep.gov.my atau hadir sendiri ke pejabat KPDNHEP berhampiran.
Semalam media melaporkan, ada notis awam dikeluarkan KPDNHEP yang melarang orang ramai membeli bahan bakar berkenaan menggunakan tong dram, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Menurut laporan itu, orang ramai tidak berpuas hati dengan keputusan KPDNHEP meregulasikan pembelian bahan bakar bersubsidi berkuatkuasa 17 Jun lalu, kerana dikatakan tidak adil kepada nelayan dan pemotong rumput. – Getaran, 28 Julai 2022