KAJANG - Kementerian Sumber Manusia akan membuat satu pengumuman khas minggu depan berhubung pelaksanaan waktu bekerja 45 jam seninggu.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pengumuman itu akan dilakukan selepas melihat beberapa perkara merangkumi segi waktu kerja, cuti dan peranan pihak berkuasa.
"Itu (sedang) bincang, sabar lagi seminggu. Minggu depan saya akan membuat pengumuman khas sebab banyak perlu diumum dari segi waktu kerja, cuti dan juga peranan kementerian serta agensi kawal selia.
"Jadi saya akan adakan satu pengumuman khas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum 'Isu Pekerja Asing Malaysia: Apakah Penyelesaiannya?' anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan Sin Chew Daily sebelum ini yang memetik sumber, berhubung pengurangan waktu kerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu.
Dalam laporan tersebut, sumber mendakwa pengurangan waktu kerja berkenaan dijangka ditunda.
Wakil-wakil industri dan perniagaan juga dikatakan telah berjumpa dengan Saravanan baru-baru ini dan menteri turut bersetuju bahawa pengurangan waktu kerja tidak akan dilaksanakan mulai 1 September.
Walau bagaimanapun Saravanan berkata, beliau tidak pasti bilakah tarikh pelaksanaan sebenarnya selepas penangguhan.
Getaran sebelum ini melaporkan, Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Abdul Malik Abdullah menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang dijadual berkuat kuasa mulai 1 September ini selama dua tahun.
Beliau berkata, pindaan akta itu akan memberi impak tinggi terhadap kos perniagaan, terutama apabila operasinya berada dalam proses pemulihan.
Menurutnya, penguatkuasaan ke atas akta berkenaan juga bakal memberi kesan tinggi kepada peningkatan harga jualan produk serta perkhidmatan, apabila majikan perlu mengambil pekerja dan/atau menyediakan peruntukan gaji atau upah yang lebih.
Dalam perkembangan lain, Saravanan mendesak generasi muda untuk menceburi sektor pertanian bagi memastikan sektor makanan di negara ini tidak didominasi oleh pekerja asing.
Sebagai menteri, beliau yakin dalam tempoh 50 tahun akan datang, golongan terkaya di dunia adalah mereka yang memiliki tanah dalam sektor pertanian.
"Kalau kita lihat daripada satu juta penuntut keluar universiti, kurang lima peratus melibatkan sektor pertanian, tetapi satu juta perlukan makanan dan produk pertanian.
"(Jadi) Saya mendesak generasi muda terlibat dalam sektor pertanian jangan serahkan sektor ini kepada pekerja asing," katanya. - Getaran, 19 Ogos 2022