SANDAKAN - Ketika Malaysia menghampiri hari lahirnya yang ke-59 pada 16 September depan, lebih 1,000 penduduk kampung di Kg Bambangan, Sandakan, masih bergantung hidup dengan bekalan air hujan berlumpur yang diperoleh menerusi kolam semula jadi dari hutan berdekatan.
Bercakap kepada The Vibes, Ketua Kampung, Mahalan Yassin berkata, walaupun calon pilihan raya daripada parti berbeza memasuki kampung itu menjanjikan bekalan air bersih, ia tidak pernah menjadi kenyataan.
"Saya hilang kepercayaan terhadap ahli politik," katanya.
Kira-kira 20 tahun lalu, penduduk kampung telah mengambil inisiatif sendiri untuk mencari sumber air semula jadi yang paling hampir dengan kampung mereka.
Penduduk kampung terpaksa mendapatkan sumber air dari dua kolam kecil di Hutan Simpan Kabili-Sepilok, yang terletak kira-kira 3 kilometer (km) dari kediaman mereka.
“Kira-kira 190 isi rumah di kampung itu mengeluarkan wang untuk membeli paip air, dan mula memasang paip bagi menyambung air dari kolam ke rumah mereka.
“Bagaimanapun, air itu tidak selamat untuk digunakan memandangkan haiwan liar seperti babi hutan dan monyet juga minum dari kolam tersebut dan tumbuhan berbahaya lain turut mencemarkan air.
“Badan gatal, ruam pada kulit dan cirit-birit. Ini antara perkara biasa bagi penduduk di sini.
“Mereka yang ada bayi pula perlu memandikan bayi dengan air mineral.
“Setiap isi rumah di sini membelanjakan banyak wang untuk air minuman botol. Kami membeli beberapa kotak setiap minggu.
“Ia bagi orang kampung yang berkemampuan, bagaimana pula dengan mereka yang tidak mampu?” soalnya.
Kg Bambangan terletak kira-kira hanya 45 minit dari bandar Sandakan, dan terletak di bawah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong dan Parlimen Batu Sapi.
Kampung ini hanya menerima bekalan elektrik pada 2014.
Air berlumpur seperti Milo
Kebanyakan penduduk kampungnya terdiri daripada nelayan manakala anak mereka yang majoritinya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bambangan Sandakan juga terpaksa bergantung kepada air hujan.
Ketika hujan, Mahalan berkata, penduduk kampung akan mendapat bekalan air berwarna coklat, sama seperti Milo, kerana lumpur yang dihanyutkan dari bukit.
Pada musim panas pula, tiada bekalan air.
Lazimnya, dua atau tiga kali seminggu, sekumpulan 10 lelaki dari kampung itu perlu berjalan sejauh 3km ke kawasan kolam untuk mengeluarkan gelembung udara dari paip bagi memastikan aliran air lancar.
The Vibes baru-baru ini turut merasai sendiri pengalaman berjalan kaki sejauh 6km ke dalam hutan simpan bersama penduduk kampung.
Terletak bersebelahan laut, Kg Bambangan juga mempunyai tempat rekreasi popular di kalangan pelancong domestik iaitu Jeti Lagenda Bambangan (Jeti Legenda Bambangan).
Terdapat juga pejabat Jabatan Perikanan di kampung itu.
“Sehingga hari ini, ahli politik melawat kami semasa pilihan raya, berjanji mereka akan menyelesaikan masalah itu.
“Tetapi hari ini, kami masih minum air kotor. Kami tidak tahu bagaimana untuk mempercayai ahli politik lagi,” katanya.
‘Nasib tidak menyebelahi kami'
Seorang lagi penduduk, Rosmand Madzlan, 44, berkata, kampung itu hampir mendapat bekalan air pada 2014 apabila Datuk Seri Shafie Apdal menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dan RM3.2 juta diperuntukkan untuk tujuan berkenaan.
“Tetapi nasib tidak menyebelahi kami. Selepas Shafie disingkirkan daripada kabinet pada 2015, rancangan pembangunan itu juga dibatalkan,” katanya.
Rosmand berkata, terdapat kilang perindustrian kira-kira 2km di laluan lain dalam perkampungan itu yang mempunyai bekalan air bersih.
Situasi itu membuatkan penduduk kampung beranggapan bahawa bekalan air "begitu dekat, tetapi masih belum kunjung tiba setakat ini".
Beliau berkata, Jabatan Air boleh memasang paip dengan mudah dari kawasan kilang dan menyalurkannya ke kampung.
Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak pernah dilakukan sejak dia dilahirkan hingga ke hari ini.
“Penduduk kampung sudah letih dan kecewa. Jalan raya sudah diturap, elektrik sudah disambung, kenapa air tidak dapat dibekalkan?”
"Kami telah mengemukakan semula permohonan demi permohonan kepada Jabatan Air selepas Shafie tidak lagi dalam kabinet, tetapi jabatan itu tidak mengendahkan permintaan kami," katanya.
Presiden Pertubuhan Peduli Rakyat Sabah, Harthono Isnanthomo yang baru-baru ini berkongsi masalah bekalan air di kampung itu di Facebook berkata, beliau berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan serius dan segera bagi menangani kesengsaraan penduduk kampung.
“Penduduk kampung sudah letih dan kecewa. Jalan raya sudah diturap, elektrik sudah disambung, kenapa air tidak dapat dibekalkan?” soalnya.
Kerusi Parlimen Batu Sapi kini kosong selepas penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada Oktober 2020.
Pandemik COVID-19 menyebabkan pilihan raya kecil tidak dapat diadakan ketika itu.
Ketika dihubungi The Vibes, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Alias Sani, berkata beliau menyedari masalah itu dan akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sekong, Hazulizah Mohd Dani dari Umno pula masih belum memberikan sebarang komen berhubung pertanyaan mengenai masalah tersebut. - The Vibes, 21 Ogos 2022