KUALA LUMPUR - Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2022 akan diadakan Ahad ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dengan tema 'Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran'.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar berkenan berangkat hadir ke majlis sambutan tersebut.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pada tahun ini, sambutan melibatkan perhimpunan secara fizikal diteruskan, namun acara perarakan yang sebelum ini menjadi kelaziman pada setiap tahun, tidak diadakan.
“Sambutan Maulidur Rasul adalah merupakan satu daripada acara rasmi kerajaan yang disambut setiap tahun sesuai dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia.
“Sambutan bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah, malah ia menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Baginda,” katanya menerusi kenyataan.
Hakimah memberitahu, majlis kali ini akan menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan enam penerima Anugerah Maulidur Rasul yang diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu layak serta memberi sumbangan cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara.
Menurutnya, penerima anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang disumbang untuk pembangunan Islam dan memberi impak positif ke atas kesejahteraan serta kemakmuran rakyat dan negara.
“Pemilihan penerima anugerah ini diputuskan Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Maulidur Rasul dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad,” katanya.
Beliau berkata, antara kelainan pada majlis sambutan kali ini adalah inovasi atau suntikan elemen teknologi melibatkan persembahan seni media pemetaan cahaya (mapping) pada latar pentas (astaka), memaparkan tayangan grafik yang berinteraksi dengan fasad latar pentas.
Tambahnya, ia adalah antara tarikan dan kelainan bakal dibawa melalui acara sambutan pada kali ini.
“Selain itu, mengambil semangat kecintaan kepada Nabi Muhammad, maka pada tahun ini juga akan dibawakan persembahan khas yang mengangkat keperibadian Rasulullah sebagai tauladan dan pemangkin kemakmuran dalam menyatupadukan umat manusia, berdasarkan peristiwa dari sirah kehidupan Baginda.
“Persembahan khas ini diadaptasikan dengan kepelbagaian penyampaian berunsur keislaman yang menggabungkan pelbagai peringkat usia, bangsa dan keturunan atas nama Islam,” katanya. - Getaran, 7 Oktober 2022