KUALA LUMPUR - Pasukan National Task Force (NTF) iaitu gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama 18 agensi lain akan dibubarkan secara rasmi Sabtu ini.
Bagaimanapun, modul penugasan NFT bakal terus diguna pakai.
Panglima Angkatan Tentera (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, perkara itu akan dimuktamadkan selepas perbincangan diadakan antara ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara.
Menurut beliau, ATM dan PDRM telah bersepakat untuk memastikan hasrat tersebut dapat direalisasikan.
“Kami mahu memastikan modul penugasan pasca Op Benteng diguna pakai, sejak NTF ditubuhkan 6 Mei 2020.
“Kita telah melihat hasil yang amat memberangsangkan sepanjang penugasan Op Benteng apabila berjaya menangkap 2,794 tekong haram dan penyeludup,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan pembubaran NTF di sini hari ini.
Affendi berkata, Op Benteng juga mencatatkan nilai rampasan berjumlah RM1.1 bilion.
Jelas beliau, kerjasama ATM dan PDRM pada masa akan datang bakal melibatkan mekanisme yang sudah ditambah baik, bagi memastikan keberhasilannya lebih cemerlang.
“Satu pelan tindakan mencakupi penugasan NFT akan diwujudkan sebagai garis panduan untuk generasi penguatkuasa akan datang,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika berucap di majlis berkenaan berkata, Op Benteng yang berbekalkan misi memperkukuh kawalan sempadan negara daripada dibolosi PATI ketika penularan wabak COVID-19 berjaya melakar pelbagai kejayaan cemerlang.
Katanya, 23,683 PATI berjaya ditangkap sepanjang dua tahun penubuhan NTF.
“PDRM di bawah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) merupakan ahli tetap “Command Committee Meeting” bagi menjayakan sebarang operasi bersama demi menjaga kedaulatan negara.
"Kerjasama serta sokongan penuh yang diberikan merupakan sesuatu yang harus dibanggakan kerana ia telah berjaya melakar kejayaan gemilang dalam lipatan sejarah keselamatan negara," ujarnya.
Turut diadakan pada majlis berkenaan ialah penyerahan buku coffee table 2.0 kepada 19 pegawai kanan pelbagai agensi dan pemakaian lencana kepada lapan pegawai kanan, diketuai Komander NTF, Laksamana Madya Datuk Roslan Mohd Yunus, yang disempurnakan secara bersama oleh Affendi dan Acryl.
Antara yang hadir termasuk Pengarah Jabatan KDNKA, Datuk Seri Hazani Ghazali, Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Am) Jabatan KDNKA Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim dan Ketua Staf Operasi NTF, Datuk Yusoff Mamat. - Getaran, 28 Disember 2022