KUALA LUMPUR - Kesesakan di Jabatan Kecemasan hospital kerajaan akan ditangani pada kadar segera, serentak dengan usaha menaik taraf sistem teknologi komunikasi maklumat (ICT) sedia ada.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kementerian akan mengguna pakai sistem digital yang berpotensi membantu mengatasi segala masalah.
Menurut beliau, banyak solusi dan intervensi digital dalam perkhidmatan kesihatan telah diperkenal di negara lain, justeru Malaysia harus menyokong aspirasi berkenaan agar sektor yang sama di negara ini berjalan dengan lebih efisien.
“Isu kesesakan di Jabatan Kecemasan terus menjadi perhatian rakyat terutamanya menjelang musim perayaan.
“Untuk makluman, sebelum pandemik COVID-19 melanda, Jabatan Kecemasan di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) menerima kedatangan sekitar lapan juta pesakit setiap tahun,” katanya, hari ini.
Dr Zaliha berkata, peningkatan jumlah pesakit hampir setiap waktu dan pelbagai kekurangan lain termasuk tenaga kerja serta fasiliti menjadi pemangkin kepada kesesakan tersebut.
Penyelesaian jangka pendek, sederhana serta panjang jelasnya, harus dirangka segera dengan semua pemegang taruh demi kebaikan rakyat dan sektor kesihatan negara.
“KKM melalui Program Perubatan, Program Kesihatan Awam dan Program Penyelidikan dan Sokongan Teknikal di bawah Timbalan Ketua Pengarah masing-masing telah diminta menyemak serta menganalisa data di hospital serta Klinik Kesihatan bagi melihat keberkesanan perlaksanaan inisiatif seperti pelanjutan waktu bekerja (extended working hours) di fasiliti tertentu.
“Usaha untuk memperkasakan Lean Healthcare System juga sedang dipertingkatkan, terutama di hospital yang berdepan masalah kesesakan di Jabatan Kecemasan,” katanya.
Beliau memberitahu, pelaksanaan short stay ward bakal diperkenalkan di hospital yang memiliki ruang.
“la telah pun dilaksanakan di beberapa hospital, bagaimanapun saya mencadangkan agar kriteria wad in ditambah baik bagi mengelakkan pesakit menunggu lebih lama khususnya di Zon Kuning.
“Selain itu, sistem pengurusan katil pesakit (Bed Management System) akan terus diperkemas agar penggunaan katil (bed occupancy) di hospital dapat dikawalselia dan diurus dengan baik,” katanya.
Dr Zaliha memberi jaminan, KKM akan terus melihat kepada model kerjasama dengan agensi kerajaan, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta agar isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dapat ditangani dengan menyeluruh dan berkesan.
“Penyumberluaran dan kerjasama dengan sektor swasta misalnya, telah banyak membantu semasa pandemik COVID-19 melanda.
“Model seperti ini akan dilihat secara lebih khusus termasuk kerjasama dengan Pengamal Perubatan Swasta (General Practitioner). Semestinya inisiatif seperti ini memerlukan dana yang khusus,” katanya.
Pada masa sama jelas beliau, keperluan untuk mendapatkan lebih ramai tenaga kerja termasuk doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan, pegawai farmasi, profession sains bersekutu, kakitangan sokongan dan lain-lain akan terus dilakukan.
KKM katanya, akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan bagi mencari titik temu terbaik untuk menyelesaikan is ini dalam jangka masa sederhana dan panjang.
“Banyak perkara yang telah kita pelajari semasa menghadapi pandemik COVID-19. KKM khususnya memahami bahawa bagi membina sebuah sistem kesihatan yang kukuh dan lestari, ia bukan usaha bersendirian.
“Kesihatan adalah milik semua lantas menuntut kebersamaan kita dalam usaha ini. Pembangunan Kertas Putih Kesihatan tentunya akan merangkumi kesemua perkara in dan dapat menjana perubahan makro dan mikro dalam mereformasikan sektor kesihatan negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, jurucakap KKM memaklumkan, sistem e-Pharmacist bagi pemilihan penempatan latihan siswazah untuk Pegawai Farmasi Gred UF41 akan dibuka semula mulai jam 12 tengah hari 30 Januari nanti.
Menurut jurucakap itu, sistem berkenaan akan dibuka sehingga 1 Februari depan, selepas sebelum ini dilaporkan mengalami gangguan capaian.
“Masalah tersebut dikesan apabila KKM menerima aduan daripada calon yang cuba memohon sejak ia dibuka Khamis lepas.
“Tindakan segera telah diambil bagi mengenal pasti semua masalah terbabit, dan antara lain ia menyebabkan calon tidak dapat mengakses sistem pada waktu ditetapkan,” katanya.
Jelas beliau, 627 calon telah ditawarkan tempat dan mereka perlu memilih penempatan latihan siswazah pada sesi kali ini.
“Untuk berlaku adil kepada semua calon, sistem ini ditutup buat sementara untuk membolehkan semua isu diselesaikan,” katanya. - Getaran, 22 Januari 2023