KUALA LUMPUR - Langkah menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran untuk memohon pinjaman bank akan menyebabkan rakyat dibebani bayaran faedah yang besar.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihak bank berkemungkinan hanya boleh memberi pinjaman sebanyak RM70,000 sahaja dengan pembayaran faedah sebanyak RM3,500 pada kadar lima peratus.
Menurut beliau, ia mengambil kira senario sekiranya peminjam mempunyai RM100,000 dalam akaun dua KWSP dan mahu memohon pinjaman sebanyak RM100,000.
“Katakan umur ketika mahu membuat pinjaman adalah 50 tahun dan peminjam tersebut akan bersara ketika umur 60 tahun, dalam tempoh 10 tahun pinjaman, peminjam perlu membayar faedah.
“Ia bermaksud untuk pinjaman RM70,000, pembayaran faedah selama 10 tahun adalah mencecah RM35,000,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Kenyataan sama turut dilaporkan Berita Harian hari ini yang memetik Johari sebagai berkata, lebih mudah untuk membenarkan orang ramai mengeluarkan simpanan KWSP masing-masing berbanding menggunakan ia sebagai cagaran untuk mana-mana permohonan pinjaman.
Tegas beliau, pengeluaran secara terus itu bagaimanapun hanya dibenarkan bagi mereka yang memerlukan dana untuk kecemasan seperti membayar perbelanjaan kesihatan atau pendidikan.
“Skim ini juga akan membawa masalah kepada bank kerana proses terbabit memerlukan semakan kredit dan penyediaan perjanjian undang-undang.
“Tindakan kerajaan sebelum ini sebenarnya telah silap. Mengapa simpanan KWSP itu turut diberikan termasuk kepada mereka yang tidak terkesan kehilangan pekerjaan seperti mereka yang bekerja di dalam badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan lain-lain,” katanya.
Jelas Johari, pengeluaran sebanyak RM145 bilion termasuk oleh pencarum yang tidak terjejas dengan pandemik adalah antara faktor yang menyebabkan inflasi.
“Bukan itu sahaja, pengeluaran pada ketika itu menyaksikan KWSP terpaksa mencairkan pelaburan jangka panjang untuk menampung pengeluaran dan menjejaskan keupayaannya menjana pulangan,” katanya.
Inflasi itu tambah beliau, diburukkan lagi dengan tindakan kerajaan yang pada ketika itu turut memberi moratorium pembayaran hutang.
“Ia termasuk individu yang tidak terkesan dengan pandemik seperti berdepan masalah kehilangan kerja,” katanya.
Isu pengeluaran caruman KWSP mutakhir ini menjadi modal pembangkang untuk dijadikan sebagai peluru menghentam kerajaan, yang mendakwa barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan tidak memahami kesukaran ditanggung rakyat.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli beberapa hari lalu dilaporkan berkata, kerajaan bertanggungjawab melindungi rakyat, khususnya golongan berisiko iaitu pencarum yang tidak mempunyai simpanan mencukupi.
Penyusutan dana KWSP katanya, akan mengehadkan keupayaan institusi berkenaan untuk mempelbagai dan mengukuhkan strategi pelaburan mereka. - Getaran, 9 April 2023