KUALA LUMPUR - Tiga puluh rakyat Malaysia yang diselamatkan dalam proses evakuasi selamat meninggalkan Pelabuhan Sudan, awal pagi tadi.
Jurucakap Wisma Putra berkata, kesemua mereka menaiki kapal tentera laut Arab Saudi menuju ke Jeddah.
Menurut beliau, mereka terlebih dahulu menempuh perjalanan sukar selama 30 jam melalui jalan darat dari Khartoum.
“Perjalanan merentasi Laut Merah itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 12 jam,” katanya, ringkas hari ini.
Jurucakap itu berkata, kerajaan amat berterima kasih dengan Arab Saudi dan Emiriah Arab Saudi (UAE) atas bantuan dalam menjayakan proses evakuasi tersebut.
“Atas semangat ehsan jua, Malaysia juga turut memudahcara evakuasi warganegara Kemboja, Palestin, Filipina, Singapura, Sudan, Thailand, dan Amerika Syarikat untuk dibawa keluar dari Sudan dengan selamat, di bawah usaha dan pemantauan operasi evakuasi Malaysia,” katanya.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semalam dipetik sebagai berkata, Pasukan Khas (TF) Ops Sudan Malaysia juga berjaya membantu mengeluarkan 26 warganegara lain untuk turut sama dalam proses evakuasi tersebut.
“Mereka terdiri daripada 14 rakyat Singapura, enam rakyat Kemboja, dua warganegara Amerika Syarikat (AS) dan masing-masing seorang rakyat Thailand, Filipina, Palestin serta Sudan.
“Dua lagi rakyat Malaysia tidak terbabit dalam proses evakuasi kerana mereka berkhidmat di United Nations Mission in Sudan (UNMIS) di Abyei,” katanya.
Jelas Zambry, proses evakuasi kedua mereka akan dilakukan oleh pihak Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).
Konflik di Sudan bermula susulan pemberontakan oleh Rapid Support Forces (RSF), yang membawa kepada pertempuran bersama Angkatan Tentera Sudan.
Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), korban akibat pergolakan di Sudan sehingga kini meningkat kepada lebih 400 orang, manakala 3,500 lagi cedera. - Getaran, 26 April 2023