KUALA LUMPUR – Dakwaan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) bahawa kaunter jaminan mahkamah tidak ditutup awal akhirnya terbukti benar.
Ia susulan rakaman video litar tertutup (CCTV) yang dikeluarkan semalam, bagi menyokong kenyataan bahawa kaunter tersebut beroperasi sehingga jam 4.30 petang, Khamis minggu lalu.
Rakaman tersebut yang dimuat naik di laman web PKPMP sekali gus mengesahkan kenyataan dibuat sebelum ini, bahawa kaunter jaminan mahkamah sememangnya beroperasi mengikut waktu ditetapkan.
Jurucakap PKPMP menerusi kenyataan di laman web berkenaan berkata, rakaman terbabit adalah bukti kaunter jaminan mahkamah tidak ditutup awal seperti didakwa segelintir pihak.
“Bersama-sama ini dikemukakan rakaman CCTV yang menunjukkan bahawa pada 20 April 2023, kaunter ikat jamin di Mahkamah Kuala Lumpur (yang terletak bertentangan dengan mesin ATM Maybank) masih beroperasi dan orang awam masih berurusan sehingga jam 4.00 petang,” katanya.
Menerusi rakaman tersebut, jelas kelihatan kelibat orang ramai berurusan di premis itu.
Empat hari lalu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa rakaman CCTV kaunter jaminan mahkamah didedahkan, bagi membuktikan kebenaran dakwaan PKPMP.
Katanya, kenyataan PKPMP yang menafikan kaunter jamin mahkamah ditutup awal Khamis minggu lepas perlu dibuktikan.
Menurut beliau, rakaman CCTV adalah satu-satunya cara yang boleh membuktikan kebenaran dakwaan PKPMP itu.
“Enam tertuduh terpaksa meringkuk dalam penjara hanya kerana kaunter jaminan ditutup awal.
“Jika benar penafian oleh PKPMP itu, ia perlu dibuktikan segera bagi mengelakkan persepsi negatif orang ramai,” katanya.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas insiden melibatkan enam tertuduh satu kes jenayah, yang dikatakan terpaksa meringkuk dalam penjara kerana kaunter jaminan ditutup lebih awal berbanding waktu sepatutnya.
Empat lagi tertuduh terlepas daripada penjara apabila berjaya menjelaskan jaminan tepat pada waktu.
Peguam mereka, Alvin Tan dipetik sebagai berkata, kaunter jaminan tersebut ditutup pada jam 2.53 petang, sedangkan ia sepatutnya beroperasi sehingga 4.30 petang.
Alvin berkata, kesemua anak guamnya masing-masing dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM4,000 seorang.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebarang isu pentadbiran yang mengganggu hak individu untuk diikat jamin boleh dianggap melanggar prinsip kardinal.
“Hak untuk diikat jamin ialah hak asasi setiap individu mengikut perlembagaan, dan ia perlu dhormati tanpa sebarang persoalan.
“Pihak saya akan meneliti dakwaan penutupan awal kaunter jaminan tersebut, dan semakan masih dibuat dengan pihak pentadbir mahkamah,” katanya. - Getaran, 28 April 2023