KUALA LUMPUR - Kejayaan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengekalkan kedudukan pada pilihan raya penentu semalam turut meraih perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi ciapan ringkas di Twitter, Perdana Menteri menzahirkan ucapan tahniah atas kemenangan diraih rakan karibnya itu.
“Tahniah kepada Presiden Erdogan kerana dipilih sebagai Presiden Turkiye ke-13 pada Pilihan Raya Presiden.
“Turkiye akan terus memainkan peranan membina sebagai pemain penting di peringkat serantau dan global “ katanya.
Anwar memberitahu, Malaysia sentiasa komited untuk menjalinkan kerjasama rapat bersama Turkiye.
“Malaysia teruja untuk terus bekerja dengan lebih rapat bersama Turkiye, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan bilateral yang sedia terjalin,” katanya.
Congratulations to H.E President @RTErdogan for being re-elected as the President of the Republic of Türkiye in the recent Presidential election. (1/3)
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) May 29, 2023
Hubungan akrab Perdana Menteri bersama Erdogan bukan satu rahsia, malah tokoh terkemuka Turkiye itu adalah antara pemimpin dunia terawal yang menghubungi Anwar bagi mengucapkan tahniah, sejurus selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Malaysia juga antara negara yang tidak ketinggalan menghantar delegasi bagi menggerakkan misi kemanusiaan di Turkiye, ketika negara tersebut dilanda bencana gempa bumi Februari tahun ini.
Pengerusi Majlis Pilihan Raya Turkiye, Ahmet Yener, semalam mengumumkan bahawa Erdogan telah dipilih semula sebagai Presiden dalam pilihan raya penentu yang diadakan pada Ahad.
Beliau berjaya mengatasi pencabar, Kemal Kilicdaroglu dengan keputusan tidak rasmi 52.14 peratus, manakala Kilicdaroglu mencatat 47.86 peratus undi.
Erdogan menerusi pengundian pusingan pertama pada 14 Mei lalu berhasil memperoleh kelebihan hampir lima mata ke atas Kilicdaroglu tetapi gagal mencapai 50 peratus undi yang diperlukan untuk menang. - Getaran, 29 Mei 2023