web statsweb stats

Berita Terkini

1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 5 bulan yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun

IKUTI KAMI


Menghiburkan Peminat Dengan 16 Lagu, Taring Slam Masih Berbisa!

Konsert 'Mentari Muncul Lagi' yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menyatukan Slam dan peminat.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 20 Feb 2022 9:28AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mencatat satu lagi memori indah buat kumpulan Slam dan bala pencinta mereka dengan berlangsungnya konsert Mentari Muncul Lagi baru-baru ini.

Manakan tidak, kali terakhir Slam beraksi dalam persembahan berskala besar adalah menerusi konsert Dua Dekad Slam Kembali Terjalin Bersama DMS di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor pada 3 September 2016.

Penganjuran konsert terbaharu ini menjadi pengubat rindu peminat yang sudah lama menanti peluang menyaksikan Slam beraksi di atas pentas dengan rangkaian lagu popular yang masih menjadi siulan ramai hingga ke hari ini.

Seawal jam 8 malam, penonton mula memenuhi dewan. Masing-masing tidak sabar menantikan kemunculan Zamani (penyanyi), Shah (gitar), Lili (bass), Eddie (keyboard) dan Man (dram) di atas pentas.

Tepat jam 9 malam, muzik bergema menandakan persembahan bermula dan disambut dengan tepukan dan sorakan gemuruh penonton.

Tirai persembahan dimulakan dengan lagu ‘Biarkannya’. Penonton bagai dipukau dengan kelunakan suara emas Zamani yang diiringi alunan muzik hebat oleh anggota Slam lain.

Konsert ini dibahagikan kepada dua segmen yang menampilkan 16 lagu. Menerusi segmen pertama, selepas ‘Biarkannya’ penonton dihiburkan dengan lagu ‘Buat Seorang Kekasih, ‘Manisnya Rindu’, ‘Rindiani’, ‘Tak Mungkin Berpaling’, ‘Nur Kasih’ dan ‘Maria Mariana’.

Meski stamina Zamani tidak sehebat dahulu bahkan dia dengan jujur mengakui agak sukar membawakan lagu bernada tinggi berikutan masalah kesihatan (menghidap skoliosis), ia sama sekali tidak mencacatkan persembahan.

“Minta nyawa, minta nyawa,” seloroh Zamani sambil disambut tawa penonton. 

Penonton memahami keadaan itu dan terus memberikan sokongan sepanjang persembahan. Malah, rata-rata berpuas hati dengan apa yang disajikan menerusi segmen itu dan turut sama menyanyikan setiap bait lirik yang dilontarkan vokalis hebat itu.

Tabik hormat buat Shah, Lili, Eddie dan Man kerana berjaya mempamerkan susunan muzik yang padu dan penuh bertenaga. Segalanya diadun sempurna sekali gus membuktikan bahawa ‘taring’ Slam masih berbisa dan mereka antara pemuzik terbaik dalam industri muzik tanah air.

Segmen kedua pula penonton dihiburkan dengan lagu ‘Kembali Merindu’ dan ‘Suratan’ sebelum Shah mengambil alih tempat Zamani menyanyikan rangkap pertama lagu ‘Biarkan Ia Pergi’ yang kemudian disambung vokalis itu. 

Persembahan diteruskan dengan lagu ‘Kembali Terjalin’, ‘Kurnia’ dan ‘Sinar Menunggu’, ‘Jika Kau Rasa Getar’ dan ‘Gerimis Mengundang’.

Pentas kemudian ditutup dengan lagu ‘Mentari Muncul Lagi’. Namun, sebelum itu Zamani mempersilakan tiga peminat Slam dan Ratu Rock Ella naik ke atas pentas untuk sama-sama menyanyikan lagu ‘berhantu’ itu.

Seakan bonus buat peminat apabila Slam kemudian mempersembahkan sekali lagi lagu itu sebagai penutup tirai konsert anjuran Shiraz Projects ini.

Keseluruhannya, konsert ini berlangsung dengan jayanya dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan pihak berkuasa.

Slam tidak ketinggalan merakamkan terima kasih kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong kembara muzik mereka. Persembahan pada malam itu diharap menjadi kenangan manis buat 1,500 peminat yang hadir ke konsert itu.

Mereka juga tidak ketinggalan menzahirkan penghargaan buat komposer terkenal, Saari Amri yang mempopularkan nama Slam.

Konsert Mentari Muncul Lagi turut dihadiri Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin antara tetamu yang hadir pada konsert 'Mentari Muncul Lagi'
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin antara tetamu yang hadir pada konsert 'Mentari Muncul Lagi'

Selain Ella, konsert ini turut diserikan dengan kehadiran Ajai, Along dan Musa Exists, Neves Pretty Ugly, Radin Era, Wany Hasrita serta Shuib sebagai tanda sokongan.

Tahniah diucapkan kepada Slam kerana tidak pernah menghampakan peminat dengan mempamerkan persembahan cemerlang. Moga terus bersinar! - Getaran, 20 Februari 2022

Gambar: Shiraz Projects

Isu Pada

Jaclyn Victor - Mekar Melakar Masa Depan

19 Feb 2022

Berita Berkaitan

1

Muzik 1 bulan yang lalu

5 Kumpulan AKB48 Berjaya Himpun Lebih 2,000 Peminat Pada Konsert Pertama Di Malaysia

2

Muzik 1 bulan yang lalu

Ella Memukau, Kini Siap Sedia Terbang ke Singapura

3

Muzik 2 bulan yang lalu

20 Kumpulan Rock Bergabung Dalam Satu Album, ‘Rock Never Dies’

4

Muzik 2 bulan yang lalu

Afgan Bakal Kenalkan Pasangan Dalam Konsert

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara