Menginjak ke minggu kedua berpuasa, pasti sudah ada di antara anda yang mula berkira-kira untuk berbuka puasa di luar. Maklumlah, selalunya awal-awal puasa ramai yang ambil kesempatan untuk berbuka puasa di rumah bersama keluarga.
Mencari lokasi berbuka puasa kadangkala menjadi isu rumit, lebih-lebih lagi jika melibatkan ramai orang. Maklumlah, lain orang, lain seleranya. Ada yang suka masakan kampung, ada yang bercitarasa moden, malah ada yang mencari hidangan yang jarang ada pada hari-hari biasa.
Selain itu, faktor harga juga memainkan peranan. Melihat kepada harga bufet Ramadan yang ditawarkan pada Ramadan kali ini, ternyata harganya semakin meningkat berbanding sebelum ini. Jadi, buatlah pilihan yang sesuai selera, tidak membebankan perbelanjaan.
Berikut merupakan pilihan bufet atau menu buka puasa yang boleh anda cuba. Kesemua pilihan ini Getaran telah cuba sendiri dan ia tidaklah mengecewakan. Tempat pertama pastilah yang paling memuaskan selera.
1) Pentas Citarasa – Putrajaya Marriott Hotel
Bertempat di Zest Lifestyle Restaurant, berbuka puasa di sini bagaikan membawa anda mengembara ke pelbagai negara dalam sekelip mata, sesuai dengan namanya, ‘Pentas Citarasa’.
Terlalu banyak hidangan yang terhidang depan mata dan bukan mudah sebenarnya membuat pilihan. Jadi ambillah masa untuk mengelilingi kaunter makanan, pilih hidangan yang paling digemari dahulu sebelum mencuba yang lain-lain.
Terdapat lebih daripada 10 ‘pentas’ yang boleh anda singgah. Antara yang berbaloi untuk dicuba ialah ‘7 Kawah Waklan’ yang menampilkan pelbagai lauk kawah yang dihidangkan bersama beberapa jenis nasi. Tidak ketinggalan pelbagai ulam-ulaman dan sambal yang membangkitkan selera.
Selain itu ada juga ‘Medan Bakar Bakar dan Makanan Laut’ yang membawakan pelbagai jenis ikan bakar, lidah lembu bakar dan hidangan istimewa ‘Seafood Kava yang terdiri daripada udang, kerang, ketam, sotong dan siput buluh.
Sambil menjamu selera, boleh hiburkan hati dengan lagu-lagu yang mengimbau kenangan ketika lagu-lagu seperti ‘Lodeh Mak Lodeh’, ‘Joget Pat Mat Kahwin Lagi’, ‘Zapin Usik Mengusik’, ‘Lemak Manis’ dan ‘Joget Sayang di Sayang’ menjadi siulan ramai.
Tahun ini, Putrajaya Marriott Hotel mengalu-alukan kehadiran pengunjung untuk singgah ke ‘Dusun Buah-Buahan’ yang menampilkan Raja Buah Durian sebagai tarikan utama bufet buka puasa ini. Jadi, sebelum beredar, pastikan anda singgah di luar perkarangan hotel untuk menikmati durian sepuas-puasnya. Itupun, jika perut anda masih punya ruang.
Selain durian segar, ada juga pilihan pemanis mulut yang menyerlahkan raja buah ini seperti, cendol durian, serawa durian, kek keju durian, durian profiterole, dan durian swiss roll.
Bufet ini berharga RM198 bersih dewasa dan RM74 bersih untuk kanak-kanak.
2) Destinasi Rasa - Le Méridien Putrajaya
Dari 23 Mac hingga 21 April 2023 Le Méridien Putrajaya menyediakan Destinasi Rasa untuk santapan berbuka puasa. Bufet yang bermula dari jam 6.30 petang hingga 10 malam ini mengangkat tema 'Malam Pesona Songket'.
Sama seperti corak elegan dan tenunan songket Malaysia yang rumit, nikmati makan malam dalam suasana glamor dengan pengalaman kulinari eksklusif yang disediakan oleh Chef Eksekutif Liou dan pasukannya.
Sambil menjamu selera, anda juga dihiburkan oleh band residen dan Ghazal Seri Pinang. Tarikan utama Destinasi Rasa, Le Méridien Putrajaya terletak pada hidangan nasi kandarnya. Bukan ‘diimport’ dari luar, namun disediakan di dapur hotel ini sendiri. Penggemar nasi kandar, ini adalah tempatnya jika anda ingin menikmati hidangan ini sepuas-puasnya.
Bayangkan berbuka puasa dengan timbunan nasi putih atau beriani yang dilengkapi dengan pelbagai jenis kari seperti kari kepala ikan, ketam masala, sotong masala, kari kambing, kari udang dan menu tambahan lain seperti dalca sayuran, peria goreng rangup, puyuh masak bawang, daging hitam, dan telur sotong.
Selain itu, terdapat juga menu-menu popular di kalangan rakyat Malaysia seperti menawarkan kambing carik dengan nasi mandy, shawarma ayam, gulai lemak kawah, lemang dan ketupat, ikan bakar gaya Portugis dan BBQ ala kampung.
Berbuka puasa tidak lengkap dengan hidangan pemanis mulut, jadi jangan lupa jenguk ke seksyen ini. Ada pelbagai jenis kuih Melayu, pemanis mulut Arab, dan juga kek yang menanti.
Bufet Destinasi Rasa berharga RM188 bersih dewasa dan RM94 bersih untuk kanak-kanak berumur 5-12 tahun.
3) Jelajah Selera Bersama TAMU – Tamu Hotel Kuala Lumpur
Bertemakan 'Jelajah Selera Bersama TAMU' bermula dari 23hb Mac hingga 21hb April 2023, Tamu Hotel Kuala Lumpur menawarkan pelbagai hidangan tradisional menarik yang disajikan semasa musim perayaan hari raya serta masakan kegemaran Malaysia dan Antarabangsa.
Menurut Chef Eksekutif Azizul Bin Mohd Noor, setiap pengunjung perlu mencuba atau menjamah semua hidangan yang ditawarkan di sini. Ini kerana pasukannya menyediakan masakan tradisional Malaysia yang benar-benar tulen seperti nasi kambing dulang besar, gulai daging batang pisang, kari kepala ikan, sup gear box kami dan nasi dulang.
Terdapat 18 gerai yang boleh anda singgahi di sini. Setiap gerai punyai hidangan yang memikat selera. Antara yang mesti anda cuba ialah sate daging dan ayam, nasi safron , ayam percik pantai timur, udang masak lemak dengan pegaga, ikan pari asam pedas melaka, sambal kering ikan bilis tempe dan tauhu, pajeri nenas ala kampung, pucuk paku goreng belacan.
Untuk jamuan İftar yang lebih peribadi dan eksklusif, anda juga boleh membuat tempahan di TAMU Sky Lounge, Aras 40.
Selain hidangan bufet, anda akan dihidangkan dengan Nasi Arab Dulang. Nasi yang kaya dengan herba dan rempah tradisional serta dimasak dengan sempurna ini memang terkenal di Tamu Hotel Kuala Lumpur.
Jelajah Selera Bersama TAMU berharga RM169 untuk dewasa. Manakala warga emas berharga RM98 dan untuk kanak-kanak berharga RM85.
4) Selera Kampung - Glenmarie Hotel & Golf Resort
Semarakkan semangat Ramadan anda dengan pelbagai hidangan lazat bufet ‘Selera Kampung’ di Glenmarie Hotel & Golf Resort dari 23 Mac hingga 20 April 2023.
Bertempat di Restoran Garden Terrace yang terletak bersebelahan dengan padang golf, pengunjung akan disajikan dengan menu tradisional ala kampung yang dari jam 7 malam hingga 10 malam.
Menu ini akan bertukar mengikut giliran pada setiap hari dan pelanggan boleh menikmati lebih 188 hidangan, bersama-sama dengan stesen memasak secara langsung.
Terdapat beberapa menu istimewa yang mesti anda cuba iaitu Kambing BBQ Arab bersama Nasi Kabsa, tujuh jenis gulai salai, asam pedas telur ikan mayong, daging rendang tok, ikan keli berlada hijau,sup tulang kambing merah ala Singapura, Panipuri, Rendang Itik, dan Siput Sedut Masak Lemak Kantan.
Akhiri hidangan bufet anda dengan menikmati hidangan pencuci mulut yang lazat seperti kuih melayu beraneka jenis, ais kacang, bubur pulut hitam, serta pelbagai jenis kek.
Bufet Ramadan ‘Selera Kampung’ berharga RM138.00 untuk dewasa dan untuk kanak-kanak berumur berusia 4 sehingga 12 tahun berharga RM78.00. Manakala kanak-kanak di bawah umur 4 tahun boleh makan secara percuma.
Selamat menjamu selera! - Getaran, 26 Mac 2023