Untuk melegakan tekanan, baru-baru ini penulis berkesempatan melarikan diri ke Traders Hotel Kuala Lumpur untuk percutian 3 hari 2 malam. Hotel ini menjadi pilihan kerana ia menawarkan pemandangan panoramik Menara Berkembar Petronas (KLCC), Taman KLCC dan latar langit metropolitan.
Selain itu, penulis juga tidak mahu ke mana-mana, selain mahu bermalas-malasan di hotel, atau terma yang lebih sedap didengar, ‘staycation’. Jika mahu keluar pun, Suria KLCC boleh dijejaki hanya dengan berjalan kaki atau gunakan sahaja perkhidmatan ‘shuttle’ yang disediakan oleh pihak hotel.
Berpegang kepada cogan kata - 'An urban escape', Traders Hotel Kuala Lumpur menjanjikan perkhidmatan dan kemudahan yang diidamkan oleh setiap tetamu yang sedang dalam mood bercuti.
Terdapat 571 buah bilik yang tersedia dan kesemua bilik menjanjikan perkhidmatan terbaik demi keselesaan tetamu. Setiap bilik tampil bergaya dengan rekaan moden, eksklusif serta kontemporari.
Peralatan dan perabot yang diguna pakai juga tampil mewah, sesuai dengan tarafnya sebagai sebuah hotel berbintang lima. Antara jenis-jenis bilik yang boleh dijadikan pilihan ialah Deluxe, Deluxe Garden View, Deluxe Twin Tower View, Traders Club, Trader Club Garden View dan Traders Club Executive Twin Towers View yang menjadi pilihan penulis.
Bilik yang satu ini cukup istimewa kerana susun atur katilnya betul-betul menghadap KLCC, serta mempunyai keluasan yang cukup selesa. Jadi, setiap kali masuk ke bilik, mahu melelapkan mata dan bangun daripada tidur, pemandangan KLCC akan terpempan di depan mata.
Dengan semua kemudahan yang menguntum senyuman inilah, penulis berasa enggan untuk meninggalkan bilik. Tilam dan bantalnya yang empuk membuatkan tidur malam cukup lena. Terlupa sebentar dengan kerja-kerja pejabat yang tidak pernah habis.
Manjakan lidah dengan pelbagai hidangan memikat selera
Menjamu selera di hotel mungkin bukan pilihan kepada sesetengah orang. Sama ada kerana pilihannya yang terhad, ataupun anda tidak yakin dengan rasanya. Namun, jika menginap di Traders Hotel terdapat beberapa seleksi makanan yang boleh berbaloi untuk dicuba.
Memandangkan penulis menginap di tingkat yang menempatkan ‘Club Rooms’, penulis punya pilihan untuk bersarapan pagi dan koktel petang di Traders Lounge yang terletak di tingkat 32.
Untuk sarapan pagi, ada beberapa pilihan yang boleh dipesan selain hidangan yang tersedia di atas kaunter.
Untuk menu yang boleh dipesan, penulis terpikat dengan Egg Royale yang terdiri daripada mufin English yang dihidang bersama kepingan salmon, telur rebus dan sos Hollandaise. Egg Benedict juga tidak kalah dengan rasanya. Berbeza dengan Egg Royale, hidangan ini disajikan dengan ham ayam belanda.
Satu lagi hidangan yang menjadi pilihan penulis ialah Traders Strawberry Souffle Pancake yang tidak terlalu manis biarpun dihidangkan bersama jem strawberi dan sos vanila.
Beralih kepada menu koktel petang, ia juga tidak mengecewakan. Biarpun tidak banyak, tetapi ia sudah cukup untuk mengalas perut sementara menunggu waktu makan malam. Ada kuih-kuih tradisional Melayu dan juga beberapa hidangan moden seperti puding, pizza dan salad. Minuman panas dan jus dan minuman ringan juga tersedia tanpa had.
Selain itu, penulis juga sempat menikmati makan malam di Bara On Six yang diterajui oleh Unaver V. Unabia. Restoran yang dibuka kurang dari setahun ini tampil dengan pilihan pilihan daging ‘dry aged’ yang menjadi kegemaran pencinta daging.
Memang harganya sedikit mahal, tetapi berbaloi untuk memanjakan lidah. Sesekali apalah salahnya memberi ganjaran kepada diri sendiri.
Jika anda menggemar tiram, Bara On Six juga menyediakan beberapa jenis tiram segar (tiram di atas ais) untuk dijadikan hidangan pembuka selera.
Boleh pilih jenis yang anda suka seperti Irish Premium (Ireland), Sydney Rock (Australia) dan Fin De Claire (Perancis). Jika tidak pasti, boleh minta pendapat cef dan dia dengan senang hati akan mencadangkan tiram yang sesuai dengan selera anda.
Satu lagi hidangan pembuka selera yang mesti anda cuba ialah Chargrilled Japanese Octopus. Ia memberikan sensasi rasa yang cukup membahagiakan. Sotong dimasak sempurna dan lembut apabila dikunyah.
Untuk hidangan utama boleh cuba Dry-Aged Angus Striploin (35 hari), Dry-Aged Angus Rib Eye (45 hari), Wagyu Rib Eye MB7, Wagyu Tenderloin MB5 dan juga Tomahawk. Jika tidak suka dengan daging, ada juga pilihan ayam dan makanan laut.
Menurut Chef Unaver, dia dan pasukannya cuba menghasilkan menu yang lain daripada lain kerana tahu ramai yang mula memerhatikan diet harian mereka. Setiap hidangan boleh dikategorikan sihat kerana selain menggunakan bahan-bahan premium, ia juga dimasak dengan tanpa menggunakan bahan-bahan perisa yang tidak baik untuk tubuh badan.
Jangan lupa ke spa
Alang-alang sudah berniat untuk berehat dan bersantai, janganlah lupa untuk singgah ke theSPA yang menyediakan pelbagai jenis rawatan untuk merehatkan tubuh badan yang lesu.
Melangkah masuk ke ruangan spa ini, pengunjung boleh meraih ketenangan dan menerima rawatan yang diidamkan tanpa perlu bimbang tentang kesan sampingannya. Ini kerana sebelum rawatan bermula, petugas spa akan duduk berbincang untuk mencadangkan jenis rawatan yang benar-benar diperlukan.
Menampilkan konsep intimasi, rawatan di theSPA tidaklah tertumpu kepada rawatan kecantikan semata-mata, tetapi turut mempromosikan kesejahteraan dalaman dan luaran.
Salah satu rawatan yang boleh dicuba bersama pasangan ialah Urutan Aromaterapi yang melibatkan urutan lembut serta menggunakan bau-bauan yang menenangkan minda. Boleh pilih urutan 60 minit atau 90 minit. - Getaran, 11 Jun 2023