KUALA TERENGGANU - Cubaan menyeludup 330,000 batang rokok dari negara jiran, menggunakan jalan laut gagal, apabila diserbu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, serbuan itu dilakukan di Pulau Karah, berhampiran Pulau Bidong selepas menerima maklumat berhubung aktiviti mencurigakan di situ.
Menurut beliau, pihaknya berjaya menjumpai 33 buah peti, mengandungi 1,650 karton rokok, dipercayai dibawa masuk dari Vietnam.
"Bagaimanapun, tiada tangkapan yang dilakukan kerana suspek berjaya melarikan diri, meninggalkan hanya karton rokok berkenaan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Muhammad Suffi berkata, sindiket terbabit dipercayai didalangi warga tempatan, yang menjadikan Pulau Karah sebagai lokasi transit.
"Kita percaya itu kerana pulau tersebut tidak berpenghuni, menyebabkan ia sesuai dijadikan lokasi transit sebelum hasil seludup berkenaan dibawa masuk ke tanah besar dan dijual pada harga RM12 hingga RM17 sekotak," katanya.
Muhammad Suffi berkata, ini adalah kali pertama kejadian seumpamanya direkodkan berlaku, dan perubahan modus operandi itu dipercayai berpunca daripada kawalan ketat di laluan darat, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya tidak nafikan mana-mana penjenayah kini beralih kepada jalan laut kerana banyak sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di sempadan negeri,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. - Getaran, 23 Ogos 2021