SHAH ALAM- Polis mengenakan reman dua hari bermula hari ini ke atas seorang pelawak dan isterinya bagi membantu siasatan penyebaran maklumat dalaman berkaitan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di aplikasi Telegram.
Menurut laporan Harian Metro yang memetik sumber, pelawak berusia 38 tahun dan isterinya, 37, itu ditahan di Balai Polis Seksyen 9, di sini, pad jam 7 malam semalam.
"Kedua-duanya dibawa ke Mahkamah Shah Alam, hari ini, untuk mendapatkan perintah tahanan reman," kata sumber itu.
Polis turut merampas telefon bimbit pasangan terbabit bagi tujuan siasatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua mereka.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Sebelum itu, tular di aplikasi Telegram foto sekitar program lawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Sahabudin Abd Manan di IPD Shah Alam. - Getaran, 2 Julai 2024