“Saya Dah Cakap,”
Demikian reaksi pelakon dan penerbit Bront Palarae mengulas sebuah drama tempatan, 'Projek High Council' yang telah membuktikan kejayaannya tanpa meletakkan syarat pelakon harus mempunyai jumlah pengikut tertentu di laman sosial.
Menurut Bront, kekuatan serta tularnya sebuah naskhah yang baik bukanlah bergantung kepada jumlah pengikut pelakon di laman sosial tetapi keserasian watak serta gaya lakon yang meyakinkan.
“Kenapalah sebelum ini kita percaya jumlah pengikut di laman sosial lebih penting daripada kesesuaian bakat? Kita juga tak faham cara pihak atasan berfikir sebab bila tengok semula, teori pelakon kena ada jumlah pengikut yang banyak pun tidak berjaya juga. Drama tak laku juga.
“Sebelum ini kita mengharapkan agar ada sebuah projek yang boleh meyakinkan mereka (pihak atasan). Bila tengok 'Projek High Council' berjaya, kita rasa gembira,” katanya ketika ditemui Getaran di majlis tayangan perdana filem Rajah, semalam.
Sambutan hangat penonton yang membanjiri KLCC semasa sesi bertemu peminat baru-baru ini diharap dapat membuka mata para penerbit agar tidak lagi meletakkan syarat yang berat sebelah dalam pemilihan pelakon.
“Apa yang penting ialah sudut penceritaan dan gaya lakon yang meyakinkan. Ia dapat dibuktikan dengan sambutan penonton yang membanjiri KLCC. Sudah seperti fenomena Ada Apa Dengan Cinta.
“Fenomena ini diharap dapat membuka mata penerbit untuk melihat keserasian memainkan watak itu lebih penting daripada pengikut di laman sosial. Sebab akhirnya nanti, kalau berlakon hebat, pengikut akan bertambah juga di laman sosial,” katanya.
Terkini, Bront Palarae tampil membintangi sebuah filem Hollywood bertajuk Rajah yang menceritakan tentang Sir James Brooke yang berjaya menjadi Raja Putih pertama Sarawak.
Filem Rajah menghimpunkan beberapa pelakon hebat daripada beberapa buah negara termasuk Josie Ho dari Hong Kong, Atiqah Hasiholan dari Indonesia, Dominic Monaghan dari British dan Hannah New dari United Kingdom. Rajah bakal menemui penonton di pawagam pada 9 Mac ini. - Getaran, 8 Mac 2023